UMNO Sahut Cabaran Anwar, SAPURA Perlu Forensik Audit

Politics
15 May 2022 • 6:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Zahid menyuap pulut kuning pada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas PAU khas yang diadakan di WTC, hari ini. - Gambar Azim Abd Rahman

KUALA LUMPUR - UMNO menerima cabaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa forensik audit adalah langkah tepat yang perlu dilaksanakan bagi menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SEB).

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi setuju supaya kerajaan menjalankan audit forensik terhadap SEB agar ia lebih telus.

image is not available
Najib dan Anwar menyentuh mengenai Sapura Energy dalam Debat Perdana, 4 hari lalu.

Menurut beliau, syarikat yang kepentingannya dimiliki Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu dibantu, seperti telah diutarakan dalam Debat Perdana antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim empat hari yang lalu.

“Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor terlibat. Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, PETRONAS sesuai untuk mengambil alih dan melakukan turn around sesegera mungkin.

“Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib dilakukan agar ia lebih telus,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

image is not available
Antara perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas di WTC, hari ini. - Gambar Azim Abd Rahman

Dalam Debat Perdana itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengesyorkan kerajaan menjalankan audit forensik terhadap SEB yang berhadapan dengan kemelut hutang, sebelum kerajaan memutuskan untuk campur tangan.

Dalam masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut menegaskan, politik juga perlu memainkan peranan sebagai pendorong kepada usaha untuk membetulkan sistem yang terpalit dengan rasuah, penyelewengan atau memiliki urus tadbir lemah dalam sesebuah syarikat.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut bersetuju dengan cadangan Najib semasa debat bahawa PETRONAS sesuai untuk mengambil alih SEB.

Lantaran itu, beliau menggesa kerajaan menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia itu yang dibebani dengan pinjaman RM10.3 bilion dan berdepan dengan pengisytiharan muflis.

“Syarikat yang pegangan ekuitinya disertai oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) seperti SEB dengan lebih 10 juta pemegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN) turut mempunyai kepentingan dan mesti dibantu.

“Dalam tempoh dua dekad mendatang, UMNO mahu melihat agenda Melayu dan Bumiputera terus diperkasakan termasuk memperkukuhkan agensi amanah Bumiputera. PNB, Tabung Haji, Felda, MARA dan institusi pegangan ekuiti Bumiputera wajib menjadi agenda utama kerajaan tanpa tunduk dengan mana-mana tekanan,” katanya. - Getaran, 15 Mei 2022.