“Hai, kenapa awak ni…”

Family & Parenting
21 May 2022 • 10:00 AM MYT
SuriyaNoor
SuriyaNoor

Juggling marriage, motherhood, and chores.

Image from: “Hai, kenapa awak ni…”

“Belum kahwin? Bukan ke dah tua?”

“Pakai mask (niqab)? Kita kan dalam rumah?”

“Duduk dalam rumah macam muzium ni? Gelap sangat”

“Hisap rokok? Kan boleh mati?”

Inilah soalan-soalan yang pernah anak autisme kami tanya secara depan-depan, terus-terang, kepada orang yang dia kenal dan tidak kenal. Soalan-soalan yang biasanya tidak ditanya oleh seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, apatah lagi kepada orang yang asing baginya.

Tapi itulah dia. Dua tahun lalu dia telah didiagnos dengan Aspergers, dan bermulalah kisah kami sekeluarga mengubah segala cara kami yang terdahulu untuk menyantuni anak kami. Mungkin pada sesetengah orang yang mendengar dia tiada adab, tapi oleh kerana kanak-kanak Autisme/Aspergers seperti dia mempunyai masalah untuk berkomunikasi dalam persekitaran sosial, dia tidak tahu pun yang apa yang diucapkan itu mungkin menyinggung perasaan orang lain.

Bagi dia, apa yang diucapkan atau ditanya itu adalah fakta. Jadi mengapa orang berkecil hati? Kenapa orang lain tidak dapat menerima apa yang ditanya? “Kenapa mereka marah saya Mama?” Bila ditanya begitu, saya pun serba salah untuk menyatakan kenapa, namun harus menggunakan perkataan yang betul dan terus ke arah topik yang dibincangkan kerana jika tidak dia akan bertanya dan terus bertanya kerana dia tidak faham.

“Hish Mama, saya takut la nak salam nenek tu, jari-jari dia macam witch.” Adoi tepuk dahi.

Bila ditegur, baru dia berfikir seketika dan berkata, “Ooo”, tetapi itu tidak bermakna dia tidak akan bertanya lagi. Biasanya dia akan lupa. Dan mengulanginya lagi. Dan lagi. Perkara repetitif yang harus diingatkan sentiasa, jangan menegur kalau bukan hal kita.

Etika bersosial memang bukan dalam kamus kehidupannya. Kadang-kadang mulut yang tiada filter itu mampu membuat orang terkedu, terkesima, terasa hati. Kami sebagai ibu bapa hanya mampu menerangkan kepada orang di sekeliling kami tentang keadaannya, dan sebenarnya ada yang masih tidak dapat menerima keadaannya yang begitu dan menyuruh kami mengajarnya adab. Tahukah anda semua yang itu apa yang kami tegaskan semenjak dia kecil lagi? Mulut orang senang untuk berkata-kata.

Yang paling ditakuti oleh kami, oleh saya sebagai ibu ialah kalau satu hari nanti dia tersilap kata kepada orang yang tidak dapat menerima malah menyakiti dirinya dengan berkasar, atau gaduh. Ataupun dia dibuli. Semoga dijauhkan hendaknya.

Tapi percayalah, di sebalik seorang kanak-kanak yang bersifat terlalu jujur itu, adalah seseorang yang sangat baik hati, mengambil berat, dan terlalu menyayangi orang di sekelilingnya.

Itu yang terpaling jujur sekali. Jadi maafkanlah dia dan mana-mana kanak-kanak lain yang neuro-diverse, yang cara berfikir dia tak sama seperti kita, yang perlu lebih sikit dari kanak-kanak “biasa”.

Kerana mereka juga mempunyai hak seperti orang lain. Anak kami juga mempunyai hak seperti kanak-kanak lain. Mungkin cara dia berbeza, mungkin cara dia tidak kena dengan cara anda, tapi anda boleh cuba memahami dirinya. Dia kanak-kanak yang sangat bijak, dan jika anda tahu bagaimana hendak menawan hati dia, siapa tahu, anda mungkin menjadi idolanya.

Gambar dari simpanan peribadi.


SuriyaNoor adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved