
KUALA LUMPUR - Tanggal 29 Mei 2022 menjadi hari istimewa kepada seluruh insan yang bergelar wartawan di negara ini apabila diraikan menerusi sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2022).
Sambutan itu disifatkan sebagai penghormatan dan penghargaan terhadap ‘penat lelah’ berterusan petugas media sama ada di agensi awam, swasta, arus perdana dan elektronik yang menjadi wadah penyampai maklumat setiap masa kepada rakyat.
Kepentingan wartawan tidak boleh dinafikan apabila mereka sanggup ‘meredah hujan panas’ dan bertugas tanpa mengira waktu sebagai ‘jambatan’ untuk menghubungkan segala permasalahan masyarakat kepada kerajaan, selain menyalurkan dasar atau aktiviti dijalankan pemimpin.
Malah, menerusi komitmen wartawan, pelbagai isu, permasalahan dan suka duka dialami masyarakat dapat diketengahkan.
Lebih bermakna, penghormatan dan penghargaan kepada wartawan sempena hari bermakna itu turut dizahirkan pemimpin serta ahli politik negara dalam kalangan kerajaan dan pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran di media sosialnya, berterima kasih di atas peranan dan sumbangan wartawan dalam pembangunan negara bangsa.
“Wartawan sebagai penyebar suara Keluarga Malaysia dalam pembangunan negara bangsa.
“Sumbangan wartawan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk Keluarga Malaysia juga amatlah saya hargai,” katanya.
Beliau berkata, Melaka dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan HAWANA 2022 kerana ia amat bertepatan dengan sejarah kewartawanan negara yang bermula di negeri bersejarah itu.
“Selamat Hari Wartawan Nasional 2022. Suara Jelata, Aspirasi Negara,” katanya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan peranan wartawan amat kritikal dalam menjana satu sistem adil, demokratik dan saksama.
Justeru, beliau memberi penghormatan terhadap peranan wartawan selama ini.
“Saya salut peranan wartawan selama ini dan mendoakan mudah-mudahan mereka dapat membawa perubahan dengan media yang bebas dan adil.
“Selamat Hari Wartawan Nasional kepada seluruh pengamal media yang beretika dan bertanggungjawab,” tulisnya di Facebook.
Manakala, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, dalam kepesatan era teknologi maklumat hari ini, wartawan sangat memainkan peranan penting untuk menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.
“Mereka (wartawan) juga tunjang utama dalam membentuk corak pemikiran masyarakat.
“Terima kasih atas pengorbanan masa, tenaga dan buah fikiran dalam menjalankan amanah tugas sebagai wartawan.
Selamat menyambut Hari Wartawan Nasional 2022!,” coretnya di Facebook.
Tidak ketinggalan memberikan penghargaan adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang berterima kasih kepada pengamal bidang berkenaan kerana menjadi pelapor dan penyampai maklumat bagi membawa suara rakyat jelata, selain jambatan penghubung antara kerajaan serta Keluarga Malaysia.
“Teruslah bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab serta menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.
“Selamat Hari Wartawan Nasional buat semua pengamal media di Malaysia,” katanya.
Ucapan Setiusaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula cukup unik apabila menulis serangkap pantun khusus untuk wartawan menerusi hantaran di Facebook.
“Sungai di desa, jernihnya aliran; Air merentas, dataran yang lebar; Tinta yang mulia, bawa kebenaran; Digital yang pantas, maklumat disebar.
“#Pantun ori (asli) ciptaan sendiri untuk wartawan. Tahniah kepada mereka (wartawan),” katanya.
Sementara itu, mantan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak menceritakan pengalamannya sebagai pemimpin yang sering berhubung dengan wartawan.
“Dari saya jadi Menteri Besar Pahang, kemudiannya Perdana Menteri dan ke hari ini. Hubungan bersama kawan-kawan media amat erat. Ada yang dahulunya muda-muda juga cover (buat liputan) program saya, hari ini dah jadi wartawan kanan, veteran. Masih ada yang mengikuti gerak kerja saya.
“Hari ini pula, pelapis muda dan baharu dilihat bersama-sama. Berbakat, bertenaga, bersemangat. Sudah tentu juga setiap dekad ada perubahan dari segi media. Televisyen dan cetak, ke digital, ke media sosial,” katanya.
Najib berkata, cabaran didepani wartawan dari satu generasi ke generasi pastinya berbeza kerana kini segalanya perlu cepat, pantas dan tepat.
Bagaimanapun, jelasnya, secara asas, sepanjang masa wartawan membawa informasi amat penting bukan sahaja kepada rakyat, tetapi berguna buat kepimpinan dan pentadbiran.
Justeru, beliau mengharapkan wartawan akan terus bersama-sama menyumbang kepada masyarakat dan negara secara membina.
“Semoga dirahmati dan diberkati sentiasa. Selamat menyambut Hari Wartawan Nasional 2022,” katanya. - Getaran, 29 Mei 2022

![[VIDEO] Anugerah Hawana 2022 bukti Kumpulan Karangkraf diiktiraf](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)