Kedah sasar pengeluaran Harumanis D’Aman 600 tan menjelang 2025

26 May 2022 • 5:22 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

YAN: Kedah menyasarkan pengeluaran mangga Harumanis D’Aman sebanyak 600 tan semusim menjelang 2025 berbanding 65 tan ketika ini susulan permintaan tinggi di seluruh negara.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sehingga kini Kedah memiliki keluasan tanaman mangga jenis itu sebanyak 98.76 hektar membabitkan 130 pengusaha terutama di daerah Padang Terap dan Kubang Pasu.

Beliau berkata bagi meningkatkan pengeluaran mangga itu, kawasan tanaman akan diperluaskan sehingga 200 hektar dengan 213 pengusaha di seluruh negeri ini.

“Buat masa ini Kedah telah menghasilkan kira-kira 65 metrik tan harumanis semusim dan kebanyakannya ditanam di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap dan dijangka meningkat apabila usaha memperluaskan kawasan tanaman dilakukan jabatan dan agensi berkaitan.

“Dari segi cuaca, ia sangat sesuai, Insya-Allah kita boleh capai sasaran ini kerana ia bukanlah susah pun sebab boleh ditanam di batas bendang dan tepi dangau (pondok) pun boleh, tak susah pun,“ katanya kepada pemberita pada Majlis Penjenamaan Harumanis Negeri Kedah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Azman Nasrudin, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian Malaysia Datuk Eliyas Saad dan Pengarah Pertanian negeri Ramli Abdul Rahman.

Pada majlis tersebut, Muhammad Sanusi turut menyampaikan hadiah Pertandingan Cadangan Nama Harumanis Negeri Kedah yang dimenangi Azul Afiz Abdul Aziz yang mencipta nama Harumanis D'Aman untuk jenama pemasaran mangga harumanis keluaran Kedah.

Muhammad Sanusi berkata orang ramai yang berminat untuk mengusahakan tanaman Harumanis D'Aman supaya menghubungi Jabatan Pertanian negeri untuk mendapatkan bekalan anak pokok selain bantuan input pertanian serta khidmat nasihat.

“Di Pusat Teknologi Mempelam, di sini ada 111 klon mangga yang tidak ada di tempat lain, boleh datang belajar di sini cara tanam mangga harumanis. Kerajaan negeri ingin melihat lebih ramai petani menceburi tanaman ini yang pasti memberi pulangan lumayan,” katanya.-Bernama