
Kota Kinabalu: Seorang penolong pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berusia 53 tahun, akan mengetahui nasibnya pada 27 Julai berhubung pertuduhan membuat kad pengenalan (MyKad) palsu.
Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menetapkan tarikh itu bagi Safiah Alijang selepas pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi semasa perbicaraan.
Mahkamah juga menetapkan 4 Julai untuk hujahan bertulis kedua-dua pihak dan jawapan, jika ada, pada 18 Julai tahun ini.
Safiah didakwa membuat dokumen palsu bernombor siri 991207-12-5135 atas nama Muhamad Daniel Hafiez bin Arif @ Jali pada jam 3.05 petang, 22 Mei 2013 di JPN cawangan Pitas.
Kesalahan itu, mengikut Seksyen 463/465 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Safiah ketika ini dilepaskan dengan ikat jamin RM6,000 berdeposit RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F.M Sambatan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan pendakwaan sementara peguam Azhier Farhan Arisin mewakili Safiah.
Sementara itu, tiga lelaki masing-masing dipenjara empat bulan dan dikenakan satu sebatan kerana memasuki negeri secara haram.
Sarajul Renje, Sali Milahi dan La Jaun mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim.
Tiga pendatang tanpa izin (PTI) itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.
Selepas menamatkan hukuman penjara mereka, mahkamah memerintahkan tiga individu itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk pengusiran.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
