
KUALA LUMPUR – Bantuan Khas Bilik Guru bernilai RM8.88 juta yang ‘dihadiahkan’ kerajaan Johor kepada sekolah di negeri itu, perlu disalurkan sebaik mungkin demi kebajikan warga pendidik.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Johor, Mohd Tarmizi A Razak berkata, bantuan itu juga diharap dapat digunakan semua sekolah di negeri berkenaan bagi memastikan bilik guru di institusi pendidikan terbabit dan kebajikan tenaga pengajar akan terus diperkasa.
Katanya, GPMS menyambut baik pengumuman Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung penyaluran Bantuan Khas Bilik Guru sebanyak RM5,000 bagi setiap sekolah di Johor.

“GPMS Negeri Johor melihat ini adalah sebagai satu tanda penghargaan kerajaan negeri kepada semua guru di Johor yang berjumlah 53,130 orang, pada hari istimewa dalam hidup seorang guru, iaitu Sambutan Hari Guru.
“Dalam masa sama, GPMS Negeri Johor berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norliza Noh, atas usaha membantu dan memudahcara urusan kebajikan guru di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan kepada Getaran.
Semalam, bersempena acara Sambutan Hari Guru 2022 bertemakan Guru Tunjang Sekolah Sejahtera peringkat Johor yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar, Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Onn Hafiz mengumumkan bantuan itu yang membabitkan 1,775 bilik guru di 1,190 sekolah.
Ia membabitkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan 585 Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor. – Getaran, 17 Mei 2022

