Anda Fikir DAP Akan Beri Sokongan Kepada Muhyiddin?

Politics
31 May 2022 • 5:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anthony Loke - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menafikan Ahli-Ahli Parlimen parti itu turut menyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Anthony berkata, sekiranya perkara itu benar, Muhyiddin sepatutnya sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

"Kalau macam tu, dia patut dah angkat sumpah jadi Perdana Menteri kan?

"(Dakwaan) Itu sudah tentu tidak benar, adakah anda fikir DAP akan memberikan sokongan kita kepada Muhyiddin?" katanya ringkas ketika dihubungi Getaran hari ini.

image is not available
Mohd Shafie Apdal - Gambar fail

Beliau mengulas dakwaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa Muhyiddin telah menghubunginya dua bulan lalu bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Presiden Parti Warisan Malaysia (WARISAN) itu dilaporkan sebagai berkata, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.

image is not available
Muhyiddin Yassin - Gambar fail

Mohd Shafie memberitahu, Muhyiddin turut mendakwa beliau telah membincangkan perkara itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bersetuju menyokong Muhyiddin.

“Saya beritahu dia (Muhyiddin) jika anda mempunyai nombor, anda teruskan, saya tidak akan mengikut anda,” katanya.

Pada awal 2020, Muhyiddin dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-8 dan berkhidmat selama 17 bulan, sebelum meletakkan jawatannya selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen, malah cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Muhyiddin kini menyandang jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri. - Getaran, 31 Mei 2022