Corsair Voyager a1600 Ialah Komputer Riba Pertama Mereka Dan Dikuasakan Oleh Gabungan Komponen Keluaran AMD

TechnologyDigital
24 May 2022 • 3:46 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Corsair ialah sebuah jenama aksesori dan komponen komputer yang cukup dikenali oleh orang ramai, khususnya mereka yang mendalami hobi membina komputer. Mereka mempunyai beberapa binaan komputer desktop, tetapi tidak mempunyai sebarang penawaran dalam industri komputer riba.

Semua tersebut berubah apabila syarikat tersebut memperkenalkan penawaran komputer riba pertama mereka yang dinamakan Corsair Voyager a1600 yang juga merupakan sebuah komputer riba AMD Advantage yang hadir dengan kedua-dua komponen CPU dan juga GPU keluaran AMD.

image is not available

Komputer riba ini hadir dengan paparan IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi 2560×1600 piksel dengan kadar segar semula 240Hz. Dari segi komponen pula, Corsair Voyager a1600 ini dikuasakan oleh pilihan CPU AMD Ryzen 9 6900HS dan AMD Ryzen 7 6800HS, memori DDR5 sehingga 64GB dan storan SSD PCIe 4.0 sehingga 2TB.

Dari segi penawaran grafik pula, komputer riba ini dilihat hadir dengan satu pilihan GPU, iaitu AMD Radeon RX 6800 yang dilihat berupaya untuk menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi dan kadar bingkai tinggi tanpa masalah.

image is not available

Salah satu keunikan pada komputer ini yang dapat diperlihatkan ialah rekaannya yang serba nipis pada 19.8mm. Bukan itu sahaja, Corsair juga memanfaatkan pemilikan syarikat perisian penstriman Elgato dengan memperkenalkan bar sesentuh yang hadir dengan 10 butang yang boleh diubahsuai menggunakan perisian Elgato yang terbina didalam komputer riba ini.

Corsair mengatakan bahawa komputer riba ini bukan sahaja sesuai untuk mereka yang mahukan pengalaman terbaik dalam menggerakkan permainan-permainan komputer mereka, tetapi juga untuk mereka yang sudah ataupun mahu mula memasuki arena penstriman seperti di Twitch ataupun Youtube.

image is not available

Buat masa ini, Corsair masih belum mengumumkan bilakah mereka akan mula menjual komputer riba ini, dan juga tanda harganya.