Warga Kota Pulang Selepas Aidilfitri, Trafik Lebuh Raya Utama Sesak

7 May 2022 • 12:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Laluan sesak dari Tol Bentong menuju ke Kuala Lumpur, semalam. - Gambar Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Kebanyakan lebuh raya utama mengalami peningkatan aliran trafik setakat pagi ini sehingga menyebabkan kesesakan, susulan kepulangan warga kota selepas sambutan Aidilfitri di kampung halaman.

Berdasarkan Twitter Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), aliran trafik menuju selatan meningkat sehingga berlaku kesesakan di beberapa lokasi.

Antara lokasi itu adalah berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Gantang–Bukit Berapit sejauh 5.2 kilometer (km), Ipoh Utara–Hentian Sebelah Simpang Pulai (24.2 km), Gua Tempurung–Tapah (4 km), Tapah–Bidor (3.5 km) dan Sungkai–Slim River (4.1 km).

Menerusi platform sama, LLM turut memaklumkan pertambahan trafik dilaporkan berlaku di lebuh raya dari pantai timur menuju ke ibu kota.

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dilaporkan mengalami pertambahan trafik dan berlaku kesesakan sejauh 3.6 km dari kawasan Lentang-Bukit Tinggi, laluan keluar Plaza Tol Gombak (1.4 km) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah selatan sebelum masuk Plaza Tol Kuala Terengganu dari Pusat Bandar (1 km).

LLM turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini trafik menerusi laman sosial pengendali lebuh raya supaya perjananan balik ke ibu kota berlancar. - Getaran, 7 Mei 2022.