
Kota Kinabalu: Seorang anggota polis yang didakwa meminta dan menerima rasuah daripada seorang wanita supaya tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang memiliki haiwan terlindung tanpa permit, diperintah membela diri.
Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat membuat perintah itu terhadap Koperal Donni @ Dainel Tinilili, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Donni pada Rabu.
Mahkamah menetapkan 27 – 28 Jun tahun ini untuk pembelaan Donni.
Bagi pertuduhan pertama, Donni didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Koyoh Majungkat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Jupilin Mojungkat yang memiliki haiwan terlindung di bawah Seksyen 41 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 21 Ogos 2016 pada jam 5 pagi di lokap Pusat Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan diterima atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM2,000 daripada Koyoh untuk tujuan sama pada jam 1 tengah hari 22 Ogos 2016 di Taman City Park berhampiran bangunan mahkamah lama, di sini.
Pihak pendakwaan telah memanggil 24 saksi semasa perbicaraan.
Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom mewakili Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F. M Sambatan, hadir untuk pendakwaan manakala peguam Debra Lyn Golingai dan Calsey Theodora Hampry mewakili Donni.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
