Reebok Floatride Panthea

Opinion
31 May 2022 • 12:00 PM MYT
Muhammad Khairul
Muhammad Khairul

An avid runner who loves to write about running and everything

image is not available

Pada tahun 2018, Reebok hadir dengan Reebok Floatride Run Fast, suatu kasut yang mendapat pujian ramai disebabkan beratnya yang ringan dan keseimbangan diantara kusyen dan responsif. Tampil dengan midsole terbaharu mereka iaitu Floatride Plus yang diperbuat daripada Pebax, suatu bahan yang dikatakan ringan dan memberi energy return yang lebih baik. Reebok berjaya menempa semula jalan mereka ke dalam dunia larian. Pada tahun 2020, mereka hadir dengan Floatride Panthea yang tampil dengan dua midsole yang berbeza iaitu Floatride Plus dan EVA. Midsole ini dikatakan lebih ringan, lebih kusyen dan lebih responsif.

Upper

Seperti Floatride Energy, pada kasut ini juga Reebok menggunakan engineered mesh pada bahagian upper mereka. Bahan yang digunakan mempunyai pengudaraan yang baik jadi apabila saya melakukan larian dalam cuaca panas kaki saya tidak berpeluh dan basah. Mesh yang digunakan agak kasar jika disentuh menggunakan tangan jika hendak dibandingkan dengan kasut lain yang saya miliki. Bahagian toebox mempunyai keluasan yang baik jadi kaki saya tidak menghadapi sebarang masalah seperti blister atau hotspot, cuma saya dapati bahan ini kurang anjal atau stretch. Berbeza dengan Floatride Energy pada ulasan saya yang sebelum ini walaupun bahan ini kurang anjal tetapi kasut ini lebih tepat daripada segi panjang dan luas berbanding Floatride Energy. Saya boleh katakan bahawa kasut ini adalah true to size.

Beralih kepada midfoot, Reebok masih menggunakan logo mereka sebagai overlay di bahagian medial dan lateral untuk memberikan sokongan kepada kaki. Sistem tali yang digunakan juga adalah sistem tradisional. Tiada band seperti mahupun sistem tali yang lain digunakan oleh Reebok. Jujurnya, saya tiada masalah dengan bahagian midfoot sepanjang saya berlari. Overlay serta sistem tali yang mereka membuatkan kaki saya tidak bergerak ketika berlari dan memegang kaki saya di kedudukan yang sepatutnya. Apa yang menjadi masalah kepada saya serupa ketika saya menggunakan Floatride Energy iaitu tali kasut. Seperti biasa panjang tali tidak mencukupi jadi sukar untuk melakukan runners knot jadi saya perlu menarik sekuatnya untuk memastikan tali mencukupi bagi melakukan runners knot. Hal ini memberikan tekanan di bahagian atas kaki kerana tali terlalu ketat lantas mencengkam bahagian atas kaki. Seperti biasa bagi sesiapa yang suka melakukan runners knot tukar kepada tali lain atau pakai lace lock. Kedua, tali selalu tertanggal daripada ikatan ketika berlari. Hal ini menyebabkan saya terpaksa berhenti untuk mengikat tali semula.

Reebok menggunakan konsep tradisional bagi lidah kasut mereka. Lidah kasut mereka agak nipis tetapi mempunyai padding di tempat yang sepatutnya. Heel counter juga menggunakan konsep yang sama iaitu tiada padding yang berlebihan hanya padding yang perlu sahaja. Heel counter sangat rigid. Anda tidak boleh menolak atau menarik heel counter ini seperti di kasut yang lain. Satu yang saya hendak ingatkan bahawa sepanjang penggunaan kasut ini, saya kerap merasakan heel slippage sebelum berlari tetapi perasaan itu hilang selepas kilometer yang pertama. Jadi bagi sesiapa yang mengalami masalah ini jangan risau kerana ini tidak menganggu atau mejejaskan larian anda.

Midsole

Reebok menggunakan Floatride Plus pada kasut ini iaitu midsole yang serupa dengan varian Run Fast. Ini adalah varian midsole mereka untuk daily trainer/ tempo day . Reebok menggunakan PEBAX untuk memastikan Floatride Panthea mempunyai kusyen yang mencukupi untuk larian harian dan larian jauh serta cukup responsif untuk larian tempo manakala EVA digunakan supaya anda mempunyai stabiliti yang baik ketika berlari.

Sepanjang saya menggunakan kasut ini satu perkataan yang terlintas di kepala saya setiap kali saya menyarung kasut ini ialah kusyen dan responsif. Bagi saya, midsole ini sangat kusyen dan selesa. Midsole kasut yang lembut cukup untuk melindungi kaki dan menyerap hentakan bagi mengelakkan sebarang kecederaan pada kaki. Misole ini tidaklah selembut New Balance 1080, tetapi tidak kasar seperti Saucony Kinvara. Reebok berada di tengah antara kedua kasut itu dalam konteks kelembutan midsole. Jadi kasut ini sesuai dibawa untuk larian easy atau larian recovery. Walaupun mempunyai midsole yang lembut, kasut ini juga sesuai untuk hari yang anda mahu lakukan larian yang pantas seperti tempo. Midsole Floatride Plus yang diperbuat menggunakan PEBAX cukup responsif dan mempunyai sifat lantunan yang baik. Hal ini untuk memastikan anda mendapat pengembalian tenaga yang efisien dan mengekalkan kestabilan ketika anda berlari. Selain itu EVA yang berada di kasut ini memberikan kestabilan yang cukup pada pelari. EVA ini bertindak sebagai lawan kepada PEBAX kerana jika hanya PEBAX sahaja untuk keseluruhan midsole jadi berkemungkinan akan menjadi masalah kepada pelari yang kurang efisien dalam foot strike mereka. Jadi pendapat saya, midsole Reebok Floatride Panthea mempunyai keseimbangan di antara kelembutan dan responsif. Cukup lembut untuk larian easy dan recovery manakala responsif untuk larian tempo. Hal ini menjadikan kasut ini serba boleh dalam pelbagai aspek larian.

Outsole

Untuk melindungi bahagian midsole, Reebok menggunakan getah sebagai outsole mereka. Getah yang digunakan menutup semua bahagian midsole. Outsole mereka mempunyai cengkaman yang bagus dan saya tidak ada sebarang masalah untuk berlari dalam sebarang keadaan dan sebarang permukaan ketika menggunakan kasut ini. Tiada tergelincir dan sebagainya.

Konklusi

Reebok telah menghasilkan daily trainer yang verstail dan terbaik. Bagi saya, Reebok Floatride Panthea berada pada satu tahap yang sama dengan daily trainer jenama lain seperti Nike Pegasus, Saucony Kinvara dan lain. Harga yang ditawarkan oleh Reebok pun sangat berpatutan. Jika Reebok dapat memperbaiki kelemahan kasut ini terutama dari segi tali kasut saya yakin iterasi seterusnya kasut ini akan lebih baik. Jika anda hanya mencari satu kasut dan dalam bajet yang terhad kasut ini sesuai untuk anda.


Muhammad Khairul adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.