
HULU SELANGOR, 16 MEI: Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS) Selangor berhubung penularan jangkitan penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini pihaknya belum menerima angka terkini berhubung penyakit berkenaan.
“Justeru, kita akan bermesyuarat dengan JKNS dalam tempoh terdekat bagi memperincikan statistik kes terbaharu HFMD itu.
“Keputusan sama ada untuk menutup sekolah atau tadika akan diputuskan selepas perbincangan khas itu nanti,” katanya pada sidang media Jelajah Kita Semua KEADILAN di Hulu Selangor di Antara Gapi di sini semalam.
Minggu lalu, statistik JKNS merekodkan sebanyak 6,748 kes HFMD di negeri ini yang kekal melebihi paras amaran.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman memaklumkan empat peratus daripadanya dimasukkan ke hospital bagi pemantauan lanjut manakala selebihnya menerima rawatan pesakit luar.
The post HFMD: Kerajaan Negeri adakan pertemuan dengan JKNS appeared first on Selangorkini.

