
Sumber: FB The Edge
Saya baru sahaja membeli barangan runcit di kedai 99 Speedmart dan tiba-tiba terfikir tentang pengasas sedai runcit ini. Saya pernah terbaca satu masa dahulu bahawa pengasas kedai 99 Speedmart merupakan seorang lelaki OKU. Sedang saya mencari inspirasi tentang lelaki berketurunan Cina ini, saya fikir alang-alang menyeluk pekasam, baik saya kongsikan saja kisah lelaki bernama Lee Thiam Wah bersama-sama anda semua. Mana tahu mungkin kisah beliau boleh dijadikan pembakar semangat kita untuk berjaya di masa hadapan, kan?
Lee Thiam Wah dilahirkan pada tahun 1964. Pada mulanya, beliau seorang bayi yang normal namun pada usia 8 bulan, beliau jatuh sakit dan didapati beliau dijangkiti virus polio. Semenjak daripada waktu itu, beliau disahkan lumpuh.
Sekiranya anda tidak tahu, virus polio ada tiga jenis iaitu Poliovirus 1, 2 dan 3. Virus ini hanya boleh menjangkiti manusia melalui transmisi “faecal-oral”. Contohnya, terdapat kontaminasi najis di dalam air atau makanan daripada individu yang dijangkiti dan anda secara tak sengaja terminum atau termakan bahan kontaminasi tersebut. Individu yang dijangkiti virus polio boleh menjadi lumpuh terutamanya jika virus ini menyerang sistem saraf pusat. Kaki lebih mudah terjejas berbanding tangan. Kebiasaannya, mereka yang sudah mendapat vaksinasi polio waktu bayi akan membentuk antibodi dan ia memberi perlindungan sepanjang hayat. Di Malaysia, Poliovirus 2 (WPV 2) telah dibasmi samenjak tahun 1988.
Dilahirkan dalam keluarga yang besar, Lee Thiam Wah mempunyai 11 adik beradik. Bapa beliau seorang pekerja buruh pembinaan manakala ibu pula seorang peniaga jalanan. Disebabkan keadaan fizikalnya dan ibu bapanya yang sibuk bekerja mencari rezeki untuk membesarkan adik beradik yang lain, beliau dijaga dan dibesarkan oleh neneknya.
Walaupun keadaan Lee sebagai seorang kurang upaya, beliau tidak mengizinkan mentaliti “kurang upaya” itu menguasai dirinya. Dilahirkan pada tahun naga, semangat untuk hidup dan mencapai kejayaan kuat di dalam dirinya. Maka, walaupun beliau tidak dapat meneruskan pelajaran ke peringkat sekolah menengah, beliau tetap belajar dengan membaca buku-buku ilmuan, majalah dan suratkhabar setiap hari. Berkat sokongan daripada neneknya, beliau mulai berniaga dengan menjual makanan ringan di tepi jalan untuk mendapatkan wang. Setidak-tidaknya beliau dapat menampung perbelanjaan sendiri memandangkan sukar untuk mendapat pekerjaan kerana situasi kesihatan beliau.

Pada usia muda 23 tahun dengan berbekalkan RM17 ribu, Lee membuka kedai runcitnya yang pertama yang dinamakan “Pasar Raya Hiap Hoe”. Kedai runcit pertama ini banyak memberi pengajaran dan pengalaman kepada beliau dalam menguruskan perniagaan. Lee mengambil masa ini untuk mengkaji produk yang mendapat permintaan tinggi oleh pelanggannya dan pada masa yang sama belajar dan membuat perbandingan dengan pesaingnya.
Setelah beberapa tahun, Lee ingin mengembangkan kedai runcitnya namun beliau sedar bahawa kedai runcit yang sedia ada tidak mama untuk bertarung dengan kedai runcit Cina yang lain, apatah lagi pasaraya besar. Maka, Lee menjual Pasar Raya Hiap Hoe dengan harga RM38 ribu. Berbekalkan modal ini, Lee membuka pasar mini pertamanya di Klang Utama pada tahun 1992 dan menamakannya Pasar Mini Market 99.
Pada mulanya, pasar mini ini mensasarkan pelanggan yang berpendapatan rendah atau warga asing. Disebabkan “business model” ini, pada beberapa tahun, Lee berjaya membuka beberapa cawangan pasaraya sekaligus membuat penjenamaan semula kepada “99 Speedmart” dengan membuat beberapa perubahan (“facelift”).

Pada bulan Ogos 2017, 99 Speedmart telah berjaya membuka cawangannya yang ke-1000. Pada hujung tahun 2021, 99 Speedmart mempunyai lebih 2000 cawangan di seluruh Malaysia dan juga berjaya membuka 3 cawangan di Singapura.
Siapa kata seorang OKU tidak boleh berjaya? Malah, beliau seorang yang dihormati dan disegani. Lee selalu menceritakan bahawa nasihat dan kata-kata semangat daripada neneknya yang telah mendorongnya untuk berjaya dan berusaha untuk membuat lebih baik dalam kehidupannya. Prinsipnya yang berbunyi “Your Limit Is YOU” patut dijadikan motto kita juga supaya kita sentiasa buat yang terbaik untuk diri dan kehidupan kita.
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.
