Program BMTKM fasa pertama pertengahan Mei

LocalPolitics
1 May 2022 • 4:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PASIR MAS - Pelaksanaan fasa pertama Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) membabitkan 5,000 ketua isi rumah (KIR) di 80 lokaliti seluruh negara dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini pihaknya telah mengadakan libat urus di beberapa lokaliti seperti Kuala Lumpur, Sabah, Pahang dan Kelantan untuk memberi pencerahan mengenai program itu kepada KIR yang telah dikenal pasti.

"BMTKM ini adalah program ekonomi untuk meningkatkan pendapatan penduduk. Menerusi libat urus yang telah dilaksanakan kita telah mengadakan perbincangan dengan KIR mengenai produk berpontensi untuk diusahakan bagi menjana pendapatan.

"Di Sabah, ada KIR yang ingin mengusahakan ternakan ayam tetapi kita telah menasihatkan agar mencari produk lain memandangkan ia memerlukan modal agak besar. Selain itu, ada KIR yang ingin mengusahakan madu kelulut kita bersetuju kerana ia tidak membabitkan kos besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 12 KIR terpilih menyertai BMTKM bagi Kelantan di Kampung Jejawi, di sini pada Ahad.

Katanya, sebanyak lapan universiti termasuk Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Kelantan turut bekerjasama dari segi penyediaan pangkalan data dan juga pemantauan rapi.

"Mereka (universiti) bertanggungjawab untuk membina pangkalan data selain melakukan pemantauan perkembangan peserta program sebanyak tiga bulan sekali. Sekiranya terdapat masalah, mereka akan memberikan kaedah untuk menyelesaikannya.

"Kita jangka hujung 2025 tiada lagi golongan miskin tegar, malah peserta terbabit dengan BMTKM telah melepasi paras garis kemiskinan yang mana mereka mampu berdikari dengan menggunakan beberapa bantuan diberi kerajaan," katanya. - Bernama