
KANGAR: Sebanyak 15,000 kenderaan dijangka memasuki Kangar menjelang perayaan Aidilfitri ini, kata Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop.
Beliau berkata peningkatan kenderaan itu disebabkan orang ramai kini boleh pulang ke kampung menyambut Aidilfitri setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian berikutan beberapa sekatan yang dikenakan akibat pandemik Covid-19.
“Kita telah mengadakan Op Bersepadu sempena Op Selamat 18 bermula 29 April hingga 8 Mei dengan menubuhkan lapan pasukan yang diatur gerak secara bersepadu untuk memastikan kelancaran aliran trafik di daerah Kangar berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan di Sekatan Jalanraya Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini, malam tadi.
Yusharifuddin berkata beberapa anggota dan pegawai telah diatur gerak di beberapa kawasan tumpuan orang ramai sepanjang tempoh perayaan ini seperti di sekitar bulatan Jubli Emas, Jalan Raja Syed Alwi, Jalan Kampung Bakau, Jalan Penjara, kawasan berdekatan pasar raya Giant, Jeti Kuala Perlis dan jalan persisir pantai Kuala Perlis.
Beliau berkata polis juga melancarkan Op Khas Aidilfitri bagi memastikan kediaman orang ramai yang pulang ke kampung selamat dan mencegah jenayah pecah rumah.
“Orang ramai yang akan meninggalkan rumah masing-masing untuk pulang ke kampung boleh mendapatkan borang di mana-mana balai polis berdekatan atau pasukan peronda supaya kita boleh membuat rondaan secara berkala di rumah mereka,” katanya.-Bernama

