
Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah (Maya) meneroka kemungkinan untuk menjadi sebahagian daripada struktur organisasi Yayasan Sabah bagi memantapkan peranannya dalam memartabatkan pendidikan di negeri ini.
Beliau berkata Maya wajar mempunyai hubungan yang baik dengan Yayasan Sabah yang berperanan bagi memberi peluang pendidikan kepada rakyat.
“Maya seharusnya mengambil pendekatan yang progresif dan bukan sekadar dijadikan sebagai platform untuk kembali mengenang peristiwa-peristiwa terdahulu atau nostalgia,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan dan Pengerusi Qhazanah Sdn Bhd berkata demikian ketika berucap sempena Program Jejak Maya dan Mesyuarat Agung Khas Tahunan di sini, Sabtu.
Beliau juga menyeru Maya supaya bersatu tenaga mencari dana bagi melaksanakan dan menjayakan pelbagai program yang dirancang khususnya yang berkaitan pendidikan.
Salleh berharap Yayasan Sabah akan terus menjadi penggerak pembangunan pendidikan dan membantu rakyat Sabah untuk terus melakar kejayaan.
“Selain Kolej Yayasan Sabah, Yayasan Sabah juga melakar kejayaan dengan mewujudkan Universiti Yayasan Sabah dan dalam hal ini, Maya boleh menyumbang daripada segi idea ke arah memajukan lagi pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
