Photo by Katherine Hanlon on Unsplash
Skrub dan lulur badan adalah salah satu rawatan yang sering menjadi pilihan ramai ketika mengunjungi spa-spa kesihatan kulit. Antara fungsi utama skrub adalah untuk menanggalkan sel-sel kulit mati pada permukaan tubuh dengan menggunakan bahan-bahan yang melelas seperti gula ataupun garam.
Sebenarnya anda tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan faedah skrub, bahkan dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di rumah pun sudah boleh menghasilkan beberapa janis skrub terutamanya skrub mandian dengan cepat dan mudah.
Pada artikel kali ini, saya akan kongsikan lima resepi skrub mandian yang boleh anda cuba di rumah. Jika anda rasakan ianya bermanfaat, jangan lupa kongsikan bersama rakan-rakan!
1. Resepi skrub garam laut

Garam laut sangat baik untuk membantu merawat pelbagai masalah kulit seperti seperti psoriasis, keradangan dan kekeringan (Sumber).
Namun begitu, harus diingatkan bahawa garam laut mungkin terlalu kasar untuk sesetengah kulit. Andai konsistensinya dirasakan tidak sesuai, anda boleh cuba kisar dahulu garam laut tersebut sedikit demi sedikit sehingga mendapat tekstur yang sesuai.
Bahan-bahan:
- 1/2 cawan garam laut
- 1/2 cawan minyak kelapa
Cara-cara:
- Jika garam laut terlalu kasar, boleh kisarkan sedikit terlebih dahulu.
- Masukkan garam laut dan minyak kelapa ke dalam mangkuk adunan.
- Gaulkan sebati dengan perlahan-lahan sehingga mendapat tesktur skrub yang diinginkan.
- Jika teksturnya masih terlalu kasar, boleh tambahkan sedikit lagi minyak kelapa.
2. Resepi skrub gula perang

Ini resepi skrub mandian yang sangat bagus untuk pemula. Dengan hanya menggunakan gula perang dan minyak zaitun, anda sudah boleh menghasilkan skrub mandian untuk kegunaan harian.
Selain itu, gula perang juga sebenarnya lebih lembut berbanding garam dan ini menjadikannya lebih sesuai digunakan untuk mereka yang mempunyai masalah kulit sensitif.
Bahan-bahan:
- 1/2 cawan gula perang
- 1/2 cawan minyak zaitun
Cara-cara:
- Masukkan gula perang dan minyak zaitun ke dalam mangkuk adunan.
- Gaulkan sebati dengan perlahan-lahan sehingga mendapat tesktur skrub yang diinginkan.
- Jika terlalu kasar, boleh tambahkan sedikit lagi minyak zaitun.
3. Resepi skrub kopi
Buat peminat kopi, anda harus cuba resepi skrub kopi ini. Dengan aroma kopi yang enak, pasti anda akan mengemarinya.
Bahan-bahan:
- 1/2 cawan serbuk kopi
- 2 sudu besar air panas
- 1 sudu besar minyak sayuran
Cara-cara:
- Masukkan serbuk kopi dan air panas ke dalam mangkuk adunan.
- Gaulkan adunan tersebut sehingga sebati.
- Seterusnya, masukkan minyak sayuran sedikit demi sedikit sehingga mendapat konsistensi yang sesuai.
4. Resepi skrub kunyit

Selain mempunyai fungsi anti-inflamasi, kunyit juga dikatakan mampu untuk merawat tona kulit yang tidak sekata, malah cenderung untuk mencerahkan kulit (Sumber).
Bahan-bahan:
- 2 sudu besar serbuk kunyit
- 1 cawan gula putih
- 1/4 cawan minyak kelapa
- 10-20 titis minyak essential oil
Cara-cara:
- Masukkan serbuk kunyit, gula putih dan minyak kelapa ke dalam mangkuk adunan.
- Gaulkan sebati dengan perlahan-lahan dan kemudian titiskan minyak essential oil.
- Gaulkan lagi sehingga anda dapat tekstur skrub yang diingini.
5. Resepi skrub madu
Sama seperti garam, madu juga mempunyai sifat antibakteria dan dipercayai mampu membantu pelbagai jenis keadaan kulit (Sumber).
Walaubagaimanapun, penggunaan madu sebagai skrub mandian mungkin akan menyebabkan sedikit ketidakselesaan kerana sifatnya yang melekit. Maka, anda harus membilas dengan air yang cukup untuk memastikan rasa melekit hilang.
Bahan-bahan:
- 2 sudu besar madu
- 1/2 cawan gula perang
- 1/4 cawan minyak kelapa
Cara-cara:
- Masukkan madu dan gula perang ke dalam mangkuk adunan.
- Gaulkan sebati dengan perlahan-lahan.
- Kemudian masukkan minyak kelapa dan gaul lagi sehingga mendapat tekstur skrub yang betul.
- Jika terlalu melekit, tambahkan minyak kelapa sedikit demi sedikit.
Sumber rujukan
https://www.healthline.com/health/skin/diy-body-scrub
https://www.cosmopolitan.com/style-beauty/beauty/a32686075/diy-body-scrub-recipes/
Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.