
BEAUFORT: Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih menggesa masyarakat supaya menghormati budaya dan agama yang berbeza serta mengelakkan permusuhan yang akan membawa ketidaktenteraman kepada negeri ini.
“Kita mesti saling menghormati untuk memastikan keamanan dan menjadikan Sabah contoh teladan dalam perpaduan antara pelbagai etnik di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, terdapat lebih 33 kumpulan etnik yang mempunyai pelbagai anutan agama di Sabah, justeru adalah penting bagi setiap individu tidak menghina antara satu sama lain bagi mengelakkan perselisihan faham.
“Lebih memudaratkan jika perkara itu berlaku, dan jika ia berlaku, maka sukar untuk pasukan keselamatan untuk meredakan, dan sudah tentu negara akan kacau-bilau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Beaufort Datuk Kimjus Duim, semasa majlis penyembelihan kerbau yang merupakan bentuk pampasan (sogit) dibayar peguam Marcel Jude Joseph, di Kg Melalugus, di sini, Khamis.
Pada 2021, Marcel didenda tujuh ekor kerbau oleh Mahkamah Anak Negeri Penampang atas kenyataan menyinggung perasaan terhadap masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) di mahkamah, di mana dia menyamakan pertandingan budaya Unduk Ngadau sebagai “pertunjukan lembu eksotik”.
Sehubungan itu, Isnin memberi amaran terhadap situasi sebegitu dan berharap masyarakat akan lebih berhati-hati dengan kata-kata mereka.
Sementara itu, daging kerbau tersebutkan diagihkan di Zon Padas antaranya Beaufort, Membakut, Bongawan, Kuala Penyu dan Sipitang.

