
TONGOD: Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan terus membangunkan Sabah termasuk kawasan luar bandar melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri amat prihatin dan tidak mahu daerah yang jauh dari Kota Kinabalu mundur, kerana masyarakat luar bandar di daerah tersebut juga berhak menikmati pembangunan dan faedah hasil kemerdekaan negara.
“Inilah yang Kerajaan GRS-BN lakukan kerana bagi kami apa yang penting rakyat dapat menikmati apa-apa pembangunan dan juga kemudahan asas yang patut mereka manfaatkan,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Daerah Tongod Tahun 2022 dan majlis pecah tanah Projek Komersial Lembaga Perumahan dan Kemajuan Bandar (LPPB) di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, di sini pada Ahad.
Beliau berkata Kerajaan GRS-BN mahu membawa Tongod dan daerah lain yang kurang membangun daripada kemunduran.
“Ini adalah hasrat kita sebaik sahaja kita mengambil alih kerajaan negeri pada September 2020. Kerajaan Negeri sememangnya akan membawa pembangunan terutama di kawasan luar bandar untuk dinikmati oleh rakyat kita yang selama ini mengharapkan sesuatu yang baik atau berfaedah kepada mereka, yang mana kerajaan boleh buat.
“Kerajaan GRS-BN juga amat komited dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah di negeri ini, melalui penyerahan 611 geran tanah seluas 3,893 ekar kepada pemohon dari daerah Tongod,” katanya.
Dari jumlah itu, katanya 238 adalah hak milik tanah adat (NT) negeri hasil permohonan tanah biasa, manakala 373 tanah NT adalah hasil Program Khidmat Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).
“Pada 12 Mei lalu, saya menyerahkan 206 hak milik tanah NT kepada pemohon di daerah Pitas dan pada Sabtu (14 Mei) saya menyerahkan 181 hak milik di daerah Telupid.
“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTU) akan sentiasa berusaha keras menilai dengan teliti semua permohonan tanah yang dikemukakan rakyat.
“Sekiranya permohonan tidak mempunyai sebarang halangan, tidak ada sebab mengapa pengeluaran hak milik tanah bagi tanah berkenaan tidak dapat dilaksanakan,” kata Hajiji.
Justeru, beliau meminta semua penerima hak milik tanah mengusahakan tanah mereka dengan pertanian, kerana ia boleh menambah pendapatan mereka.
Jika boleh, katanya bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan berkaitan untuk mengusahakan tanah tersebut dengan pelbagai jenis tanaman termasuk kelapa sawit.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasneh, Adun Telupid Jonnybone J Kurum, Pengarah JTU, Datuk Bernard Liew dan Pegawai Daerah Tongod Mohd. Fauzi Norbeh.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

