SIFA 2022 Beri Tumpuan Pada Ritual Persembahan

MusicArt
26 May 2022 • 8:30 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Festival Seni Antarabangsa Singapura 2022 (#SIFA2022) selaku festival seni kemuncak tahunan terbesar negara seberang tambak itu kini kembali dari 20 Mei hingga 5 Jun 2022. 

Dianjurkan oleh Arts House Limited (AHL), #SIFA2022 merangkumi seni persembahan merentasi teater, muzik, tarian, filem dan seni visual. 

Pada tahun ini sempena tempoh perkhidmatan pengarah festival baharu, Natalie Hennedige, tema berjudul The Anatomy of Performance (Anatomi Persembahan Ritual) turut dilancarkan.

Tema ini memberi penekanan terhadap seni persembahan artistik, kolaborasi berbilang disiplin dan karya-karya antarabangsa. Ia melibatkan persembahan fizikal dan dalam talian.

Ia memberi tumpuan kepada persembahan yang merangkumi unsur-unsur ritual, bermula daripada upacara adat yang wujud dalam budaya Singapura.

image is not available

Para artis bakal bereksperimen di persimpangan antara amalan kuno dan teknologi serta bermain dengan ekspresi dan digital. 

Natalie Hennedige berkata, “Seni persembahan kekal sebagai ruang yang penting untuk refleksi, kreativiti dan ekspresi.

“#SIFA2022 menawarkan ekspresi artistik yang diilhamkan, muncul dari Asia ke arena antarabangsa dengan menjadi platform seni artistik antarabangsa yang bermakna,” ujarnya.

Sememangnya, penganjuran #SIFA2022 ini bertujuan untuk memberi kelancaran ekspresi antara seni di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Terdapat tiga kategori utama iaitu ‘Penciptaan’, ‘Life Profusion’ dan ‘Sifa X’. 

image is not available

‘Penciptaan’ merangkumi platform untuk persembahan utama #SIFA2022 yang mencakupi karya-karya baharu dan persembahan oleh artis-artis antarabangsa.

‘Life Profusion’ pula merupakan pentas maya #SIFA2022 yang berjalan selari sepanjang festival sedang berlangsung. 

‘SIFA X’ pula menawarkan persembahan alternatif yang diterajui oleh pengarah artistik SA The Collectibe, Andy Chia.

#SIFA2022 turut akan melancarkan tayangan perdana dunia bagi filem ‘Delicate Spells of Mind’ arahan artis sains fiksyen terkenal dunia, Lucy McRae. 

Mengekalkan momentum festival, empat karya akan dipersembahkan secara maya. Antaranya, MEPAAN, Ceremonial Enactments, Bangsawan Gemala Malam dan Delicate Spells of Mind.

image is not available

Untuk membeli tiket dan melihat barisan penuh persembahan, layari #SIFA2022 untuk maklumat lanjut. - Getaran, 26 Mei 2022

Gambar: Arts House Limited