
SHAH ALAM, 10 MEI: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) memperuntuk dana RM64,000 bagi menghargai golongan wanita sempena Hari Ibu.
Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata menerusi inisiatif itu, setiap 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menerima peruntukan RM2,000 bagi meraikan Hari Ibu di kawasan masing-masing.
“Sambutan berlangsung secara berperingkat mulai 8 Mei hingga 8 Jun. Setiap DUN bebas menggunakan sumbangan terbabit dan merancang aktiviti.
“DUN juga bakal memberi anugerah kepada wanita yang cemerlang menjaga keluarga dan mendidik anak-anak sehingga berjaya. Anugerah ini melibatkan beberapa kategori berdasarkan kriteria tertentu,” katanya kepada Selangorkini hari ini.
Masdiana berkata menerusi sambutan berkenaan, pihaknya dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat sekitar.
“Pekawanis sentiasa berusaha untuk bersama-sama dengan komuniti dalam melaksanakan pelbagai program bermanfaat,” katanya.

The post Pekawanis sedia dana RM64,000 rai wanita sempena Hari Ibu appeared first on Selangorkini.
