MA63: Sarawak mahu mesyuarat bincang kajian semula pemberian khas

LocalPolitics
23 May 2022 • 1:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUCHING - Sarawak meneruskan rundingan dengan kerajaan Persekutuan mengenai kelayakan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perkara tersebut sedang dilaksanakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama di bawah Majlis Khas mengenai MA63 (MKMA63).

"Kerajaan negeri meminta mesyuarat jawatankuasa perundingan bersama ini diadakan dalam masa terdekat supaya formula semakan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan perkara lain yang berkaitan dapat dibincangkan dan dipersetujui,” katanya.

Menjawab soalan Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa) semasa sesi soal jawab persidangan DUN, beliau berkata, rundingan itu bagi memastikan pemberian khas kepada Sarawak dapat diagihkan secara adil dan saksama, dengan kerajaan Negeri sebenarnya telah mengemukakan formula untuk menyemak semula pemberian khas tersebut.

"Malah Primier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru telah menegaskan bahawa pemberian khas itu haruslah dibuat berdasarkan formula yang munasabah dan pragmatik.

Beliau menambah bahawa di bawah Perkara 112d(6) Perlembagaan Persekutuan, jika dalam mana-mana semakan kerajaan Persekutuan dan Negeri tidak dapat mencapai sebarang persetujuan mengenai apa-apa perkara, maka perkara itu hendaklah dirujuk kepada penilai bebas dan syor mengenainya hendaklah mengikat Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan hendaklah dikuatkuasakan seolah-olah ia adalah persetujuan kedua-dua kerajaan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved