
RANAU: Suhu tinggi dan cuaca kering luar biasa di daerah Ranau kali ini memberi kesan kepada pendaki Gunung Kinabalu apabila dua pendaki tempatan mengalami komplikasi, baru-baru ini.
Dalam kejadian 1.36 tengah hari itu, seorang wanita berusia 18 tahun dan lelaki berusia 19 tahun mengalami kecederaan di kaki di Kilometer 3 ketika mendaki Gunung Kinabalu.
Mujur ketika kejadian, mangsa mendaki bersama malim gunung yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada renjer taman dan anggota Pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar) yang berpangkalan di balai berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Bin Mohd Taib, berkata unit Mosar bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa tidak dapat meneruskan pendakian.
“Unit kami yang dianggotai lima anggota diketuai PB Neil Thompson memutuskan untuk membawa turun mangsa menggunakan teknik ‘piggyback’ dengan segera ke kawasan Timpohon Gate di mana kenderaan EMRS sedang menunggu.
“Selepas itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut menggunakan Jentera EMRS. Selepas memastikan kedua-dua mangsa selamat dihantar ke hospital, operasi ditamatkan pada jam 6.54 petang,” jelasnya.
Sementara itu, Ridwan menasihatkan bakal pendaki untuk membuat penilaian kesihatan diri sebelum mendaki Gunung Kinabalu.
Katanya perlu ada persiapan mental dan fizikal, dan hanya perlu membawa barang yang perlu.
Ridwan berkata kedua-dua mereka merupakan pendaki ke-25 dan ke-26 yang mengalami kecederaan di Gunung Kinabalu tahun ini.
Januari lalu, lapan pendaki mengalami pelbagai jenis kecederaan semasa mendaki Gunung Kinabalu, pada Februari 10 dilaporkan cedera, empat dilaporkan cedera pada Mac dan empat lagi pendaki terpaksa diselamatkan pada April.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
