
Pelakon terkenal, Fasha Sandha mengakui salah satu kunci kejayaannya selama 19 tahun menjadi pelakon di Malaysia ialah sentiasa bangun awal pagi.
Selain dikenali kerana bakatnya melakonkan pelbagai watak, Fasha juga sangat terkenal dengan disiplin kerjayanya yang sangat tinggi.
Mengulas lanjut mengenai disiplin kerjanya yang tidak pernah datang lewat ke lokasi, kata Fasha dia sudah terbiasa bangun awal pagi untuk bekerja.

“Saya bermula sebagai seorang model dari umur belasan tahun. Call time untuk tugasan pada ketika itu ada yang bermula seawal jam 4 pagi. Waktu yang pelik, waktu orang sedang sedap tidur, kami sudah mula bertugas. Jadi saya sudah terbiasa bangun awal pagi untuk pergi kerja dari umur 18 tahun hingga kini. Itu adalah tips yang saya masih boleh amalkan sehingga ke hari ini. Hari saya sentiasa bermula dari awal pagi,” katanya ketika ditemui di majlis memperkenalkannya sebagai duta produk kesihatan Gebu Glow.
Tambah ibu kepada tiga orang cahaya mata ini lagi, selama 19 tahun bergelar seorang pelakon, dia tidak pernah lagi terbabas dari tidur.
“Alhamdulillah setakat ini saya tak pernah lambat. Selalunya saya akan datang setengah jam awal ke lokasi. Itu adalah saya punya resepi untuk menjadi kesayangan produksi,” ujarnya.
Kata pelakon filem 'Cicakman' ini lagi, dia turut memberikan tips dan nasihat yang sama kepada adiknya yang juga seorang pelakon iaitu Elisya Sandha.
“Saya selalu ingatkan Elisya supaya jaga waktu. Kerana jika dia terlambat, dia akan memberi kesan kepada nama saya. Tetapi Alhamdulillah, Elisya seorang yang sangat mendengar kata,” kongsinya.
Mengulas lanjut mengenai perlantikannya sebagai duta produk yang berasaskan vitamin C ini, kata Fasya niat utamanya menerima tawaran ini adalah kerana mahu membantu golongan yang terjejas dek pandemik COVID-19 serta ibu tunggal yang mencari rezeki demi menanggung keluarga.

"Saya mula terlibat dengan melakukan kempen untuk mereka kerana niat saya pada waktu itu adalah mahu membantu ejen-ejen yang terjejas. Malah harga yang saya tetapkan pada waktu itu juga tidak seperti yang kebiasaan. Selepas kempen itu berjaya dan saya sendiri mencuba produk ini serta merasai keberkesanannya, barulah saya bersetuju untuk menjadi duta mereka.
Ibu saya pernah menjadi ibu tunggal dan saya tahu betapa susahnya mama membesarkan kami adik beradik kerana saya tiada ayah. Jadi ibu saya terpaksa berkerja siang malam untuk menyara kami sehingga menjadi orang yang berjaya.
Saya juga pernah menjadi ibu tunggal cuma mungkin keadaan berbeza. Ada benda yang kita buat untuk duit dan ada benda yang kita buat untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya sambil mengalirkan air mata menahan sebak.
Dalam perkembangan lain, Fasha kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 'Dendam Seorang Isteri' yang merupakan adaptasi dari drama popular Korea, 'Temptation of Wife'. - Getaran, 31 Mei 2022

