Pengusaha kantin terbeban, peningkatan kos bahan mentah

30 May 2022 • 5:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Jumali Mamat, 41, berkata, harga bahan mentah yang kini melambung menyebabkan ada antara mereka sudah tidak mampu menjual makanan dengan harga lama.

"Apabila semua barangan naik harga, nak kekal jual dengan harga murah agak sukar, namun kami semua terpaksa akur untuk menjual dengan harga yang murah (harga lama) mengikut perjanjian tender.

"Contoh, harga diberikan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk seorang murid ialah RM2.50, tetapi kos yang peniaga perlu tanggung sebenarnya lebih daripada itu.

"Dalam keadaan semua barang melambung, harga bagi RMT murid sudah tidak relevan lagi RM2.50.

"Peniaga terpaksa membayar sewa bulanan kantin sebanyak RM850 di samping bayaran bil air dan elektrik serta gaji pekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Jumali, kenaikan harga barangan pada tahun ini amat dirasai sepanjang tempoh lapan tahun dia berniaga di kantin sekolah itu.

"Setiap hari kita terpaksa menampung kenaikan kos yang berganda. Bayangkan kos yang ditanggung lebih RM1,300 sehari sedangkan pulangan yang diperoleh tidak mampu tampung modal yang dikeluarkan.

"Mungkin tahun ini merupakan tahun terakhir saya berniaga kantin kerana tidak tahan dengan kenaikan bahan mentah selain mahu fokus pada perniagaan lain," katanya yang mempunyai seramai enam pekerja.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha kantin, Norhana Yamari, 46, berkata, dia berdepan kesukaran mendapatkan bahan mentah (ayam) di samping terpaksa menampung kenaikan kos yang tinggi.

"Selain kesukaran mendapatkan bekalan ayam, kita juga berdepan kesukaran mendapatkan minyak masak.

"Sebelum ini harga bagi 30 ekor ayam hanya RM300 hingga RM400, kini melambung sehingga RM500 sehingga RM600.

"Ada hari tertentu saya kekurangan bekalan ayam, saya gantikan dengan telur untuk dijual kepada murid dan pelajar sekolah," katanya yang menguruskan dua kantin sekolah iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerteh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Ranggon, Kerteh di sini.

"Pendek kata semua barang mahal. Harga timun juga naik kepada RM6 sekilogram. Kalau dulu modal RM700 sudah mencukupi untuk satu kantin, kini meningkat kepada RM1,200 untuk sebuah kantin," katanya.

Seorang lagi pengusaha kantin di SK Batu 48, Dungun, Dafinah Che Din, 54, berkata, keuntungan diperoleh pengusaha kantin begitu kecil berbanding kos dikeluarkan.

"Berniaga sekarang lebih kepada pusingan modal. Nak kata habis modal itu tidak kerana wang yang ada tidak sempat disimpan untuk hal lain.

"Nak kata rugi tu tidaklah. Cuma cukup untuk 'rolling' perniagaan dan bayar sewa, gaji pekerja serta utiliti," katanya.