472 Kawasan Di 5 Wilayah Alami Gangguan Bekalan Air 

3 May 2022 • 5:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ujian persampelan air dilakukan susulan insiden pencemaran bau yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi. - Gambar dari Facebook Air Selangor

KUALA LUMPUR - Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran di muka sauk Stesen Pam Akr Mentah Jenderam Hilir, Selangor, hari ini.

Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, gangguan air tersebut bermula jam 3 petang tadi.

“Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 3 petang hari ini. 

“Susulan pencemaran tersebut, henti tugas sementara berlaku di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) bermula jam 6.15 pagi manakala di Loji Rawatan Air Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi) pula pada jam 11.30 pagi tadi,” katanya.

Menurut Air Selangor, bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. 

“Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

“Pengguna di kawasan terjejas dinasihatkan untuk menyimpan air secukupnya sehingga bekalan  air dapat disalurkan,” katanya.

image is not available
Seorang petugas LUAS memeriksa air yang tercemar seakan bau buangan diesel.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pagi tadi memaklumkan, rondaan pihaknya di kawasan Sungai Beranang awal pagi tadi menemukan bau pencemaran seakan buangan diesel di kawasan tersebut.

“Pensampelan LUAS menunjukkan bacaan 2 ton. Insiden ini berlaku disebabkan oleh paras sungai yang tinggi serta aliran deras daripada hujan lebat dan telah menyebabkan pembendungan pencemaran sebelum ini memasuki sungai. 

“LUAS, Air Selangor sedang bertungkus-lumus melaksanakan langkah mitigasi pencemaran. Sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. - Getaran, 3 Mei 2022