Rasuah: Penolong penguat kuasa KPDNHEP direman empat hari

14 May 2022 • 12:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

GEORGETOWN - Seorang penolong penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang direman selama empat hari bermula Sabtu selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah bernilai RM3,000.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Georgetown, Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin selepas Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Jayaraj membuat permohonan itu pada Sabtu.

Suspek berusia 48 tahun itu tiba di mahkamah pada jam 10.30 pagi berpakaian baju lokap dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.

Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Timur Laut di Georgetown ditahan pada petang Jumaat di Bayan Baru ketika menerima wang berkenaan daripada pengadu.

Menurut sumber, wang suapan terbabit dipercayai sebagai balasan untuk menyelesaikan kes yang berlaku pada 2021 serta tidak diambil tindakan ke atas pengadu atas kesalahan memiliki gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi melebihi had kuantiti dibenarkan.

Suspek dipercayai melakukan kesalahan itu sejak tahun lalu dan pengadu berkenaan membuat laporan kepada SPRM awal bulan ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek tidak diwakili peguam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved