
TAWAU: Seorang lelaki warga asing maut, dipercayai terjatuh dari bangunan ketika cuba melarikan diri bagi mengelak diperiksa polis, dalam kejadian di sebuah premis hiburan di Pusat Komersil BDC, Jalan Chong Thien Vun, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 23 tahun itu ditemui terbaring di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah dan dibawa ke Hospital Tawau, namun disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi.
Terdahulu, katanya, sepasukan polis menyerbu premis hiburan tersebut pada jam 1.10 pagi kerana dipercayai beroperasi melebihi masa dibenarkan.
“Hasil pemeriksaan, polis menahan lima individu berumur antara 17 hingga 45 tahun, iaitu empat lelaki dan seorang wanita yang disyaki masuk dan tinggal di negara ini secara haram.
“Kita juga merampas beberapa peralatan elektronik yang digunakan untuk tujuan hiburan dalam serbuan itu,” katanya.
Jasmin berkata, hasil pemeriksaan lanjut di belakang premis, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki dan mangsa maut itu.
Katanya, suspek yang cedera dipercayai terjatuh dari aras satu bangunan tersebut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Public Entertainment Ordnance 1958 (Sabah No. 23 Of 1958) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan terperinci dan telus bersabit kejadian tersebut juga sedang dijalankan.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat, selain mengganggu siasatan.
Beliau juga menggesa masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kepada umum dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kes di balai polis berdekatan atau IPD Tawau (089-752222).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
