
Kota Kinabalu: Seorang bekas pengurus syarikat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Jumaat, atas pertuduhan menggelapkan wang syarikat itu berjumlah RM205,019.90, tahun lepas.
Chia Chee Cheung, 39, didakwa melakukan kesalahan itu pada Julai 2021 di Wong Hasil Development Sdn Bhd di sini.
Chia meminta dibicarakan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun, dan sebatan, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Majistret Lovely Natasha Charles menetapkan 30 Jun untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan menawarkan jaminan RM3,000 kepada Chia dengan dua penjamin.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 36 tahun didenda RM2,500 atau penjara lima bulan kerana menyimpan dua unit pemprosesan pusat (CPU) yang dicuri.
Chong Jia Yuan mengaku bersalah menyimpan barang curi milik BR Usaha Marketing Sdn Bhd pada pukul 6.30 petang 21 Mei tahun ini di kawasan tempat letak kereta di Harbour City, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, mahkamah mendengar daripada pihak pendakwaan bahawa unit CPU itu adalah antara barang yang dilaporkan hilang dari premis syarikat itu di Kg Nosoob, Penampang pada 12 Mei lalu.
Peguam Mohd Syazwan Shah Mohd Ali, yang mewakili Chong, memohon denda ringan kerana Chong telah mengaku bersalah pada peluang pertama dan menjimatkan masa mahkamah dan juga merupakan penanggung tunggal keluarganya.
Inspektor Kelvan Elson Maik, yang mengendalikan pendakwaan, memohon hukuman setimpal.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
