Nanti nafi dakwaan berpihak terhadap AirAsia dalam isu kelewatan penerbangan

13 May 2022 • 7:43 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan dakwaan bahawa beliau memihak kepada syarikat penerbangan AirAsia dalam isu kelewatan penerbangan syarikat itu baru-baru ini.

Nanta berkata pihaknya memahami isu berkaitan syarikat penerbangan tertakluk di bawah Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Bagaimanapun, Nanta berkata beliau dan kementeriannya mengambil langkah proaktif apabila menerima aduan daripada pengguna berkaitan isu kelewatan penerbangan dan tuntutan mereka terhadap syarikat terbabit.

“Disebabkan aduan dibuat kepada KPDNHEP dan di atas dasar kementerian ini yang prihatin dan menjaga hal ehwal pengguna, saya telah berhubung dengan syarikat AirAsia bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan masalah yang menimpa pengguna.

“Tuduhan yang mengatakan saya memihak kepada AiraAsia adalah tidak wajar dan saya berharap ia dapat dihentikan,“ katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Nanta berkata beberapa kenyataan telah dikeluarkan di platform sosial media bagi berkongsi hasil libat urus bersama AirAsia termasuk hasil dan inti pati pertemuan antara KPDNHEP dengan pengurusan tertinggi AirAsia petang tadi.

Beliau berkata kenyataan yang dibuat tidak menyebelahi pihak AirAsia, malah beliau sendiri telah mendesak syarikat itu untuk memberi keutamaan kepada kebajikan pengguna yang terjejas dan terkesan.-Bernama