Buli Doktor Pelatih Turut Babit Aspek Seksual

8 May 2022 • 9:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kes buli yang berlaku terhadap doktor pelatih bukan sekadar membabitkan aspek fizikal dan mental, tetapi turut mencakupi elemen gangguan seksual.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak mendedahkan, gangguan berkenaan menyebabkan golongan doktor pelatih itu dilanda kebimbangan setiap kali ingin ke tempat kerja.

Menurut beliau, pihaknya akan membuka ruang untuk semua mangsa berkongsi kisah masing-masing setelah saluran yang sepatutnya gagal melindungi mereka.

“Tidak sampai beberapa jam setelah kami membuka ruang di Twitter dengan tajuk ‘Kongsilah Cerita Anda Dengan Kami’, sudah beberapa hantaran diterima.

“Kami menerima lebih daripada 10 aduan dalam tempoh enam jam selepas hantaran tersebut dimuat naik,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter Hartal Doktor Kontrak hari ini.

Jurucakap itu berkata, pihaknya menerima banyak aduan tetapi tidak semuanya dapat dikongsi kepada umum kerana perincian yang terlalu sensitif.

“Perkongsian oleh semua mangsa ini membuktikan tindakan tegas pihak berwajib wajar diambil pada kadar segera.

Sementara itu, tinjauan Getaran di Twitter mendapati, majoriti netizen meluahkan rasa simpati dan menyatakan sokongan padu terhadap semua mangsa.

“Twitter Hartal Doktor Kontrak, harus meletakkan aduan serta perkongsian kesemua mangsa tersebut.

“Ia membolehkan mangsa mengetahui bahawa suara mereka didengari dan ada ruang untuk berkongsi pengalaman pahit itu,” kata @irhamzin1.

Seorang lagi pengguna, @TatFatt71 pula berkata, tindakan seharusnya diambil oleh pihak berwajib, bukan sekadar mendedahkan kejadian itu di media sosial.

“Ini tidak akan menjadi gangguan sebaliknya membantu orang ramai memahami cabaran dan situasi sebenar yang dihadapi oleh doktor junior.

“Saya cadang letakkan nombor bagi kes pertama yang diterima oleh kumpulan anda & menyimpan bilangan ini untuk menggambarkan betapa seriusnya keadaan itu. Teruskan!,” ujarnya. - Getaran, 8 Mei 2022