PH gesa adakan sidang khas Parlimen bahas RUU Anti Lompat Parti

Politics
26 May 2022 • 10:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti secepat mungkin.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama berkata, Ismail Sabri perlu menunaikan janji membahaskan RUU berkenaan memandangkan beliau telah beberapa kali memberikan komitmen mengenai perkara tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, selain RUU tersebut, sidang khas Parlimen itu juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi.

image is not available

“Sidang khas itu juga harus membincangkan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik Covid-19 melanda, terpalit dengan rasuah.

“Justeru, Majlis Presiden menggesa Perdana Menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan,” menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida dalam satu kenyataan pada Khamis bagaimanapun berkata, beliau akan kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selari dengan pendirian PBM.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved