Tidak Sorok Fakta, UUM Beri Kerjasama Bantu Kes Kematian Pelajar

25 May 2022 • 11:40 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available
UUM beri kerjasama bantu siasatan pelajar meninggal dunia

Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa bersikap terbuka serta akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam melakukan siasatan berkaitan insiden yang terjadi di kampus terbabit.

Hal ini termasuklah berkaitan kes kematian seorang pelajar di asrama kampus Sintok, pada Sabtu (14 Mei) lalu, lapor Harian Metro.

Tidak berhasrat sembunyi fakta

Menurut Naib Canselor Prof Dr Haim Abdullah, pihaknya juga tidak berhasrat untuk menyembunyikan sebarang fakta yang akan mengganggu siasatan.

Tambah beliau, enam pegawai Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah hadir menjalankan siasatan di lokasi insiden

image is not available
Foto: FB UUM

Minta masyarakat jangan buat spekulasi

“Masyarakat di luar diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi termasuk mengenal pasti punca sebenar kematian penuntut itu,” katanya ketika dihubungi.

Mendiang didakwa meninggal dunia kerana renjatan elektrik

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), S Vinosiny, 21, ditemui meninggal dunia di asramanya yang didakwa kerana terkena renjatan elektrik.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan hasil bedah siasat untuk menentukan punca sebenar.

Beliau berkata, setakat ini kematian pelajar tersebut diklasifikasikan mati mengejut.