Bantuan kewangan kepada Ahmad Zahid kukuhkan kedudukan UKSB: Saksi

Politics
9 Jun 2022 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa bantuan kewangan yang diberikannya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertujuan mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai kontraktor Kementerian Dalam Negeri (KDN), telah berjaya mendapat sokongan bekas timbalan perdana menteri itu.

Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, berkata, selain mendapat sokongan daripada Ahmad Zahid, pihaknya turut dapat mengurangkan gangguan daripada pesaing-pesaing lain yang menjalankan perniagaan sama.

"Memandang Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) meminta bantuan, kami bantu sahaja. Bagi kami yang utama adalah untuk memastikan perniagaan kami tidak diganggu memandangkan ketika itu ada beberapa syarikat lain yang cuba melobi kerja yang sedang kami jalankan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Wan Quoris Shah berkata, tanpa pertolongan dan bantuan Ahmad Zahid, syarikatnya tidak mungkin berjaya mengekalkan dan melanjutkan kontrak-kontrak berkaitan Visa Luar Negara (VLN) selain mengakui bahawa beliau pernah beberapa kali menyerahkan wang tunai kepada Ahmad Zahid.

"Wang yang UKSB serah setiap bulan adalah berbentuk wang tunai, semuanya menggunakan Dolar Singapura. Ini adalah permintaan Datuk Seri (Ahmad Zahid) kepada kami,” katanya.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun (Harry Lee) yang juga merupakan bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Selain itu, saksi pendakwaan ke-16 itu juga berkata, sudah menjadi resmi (kebiasaan) orang perniagaan cuba mencari peluang di mana-mana kementerian atau agensi kerajaaan untuk mendapatkan kontrak.

"Bagi syarikat UKSB, keperluan kami untuk berjumpa dengan Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) pada ketika itu adalah untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai kontraktor pembekal sistem pemprosesan visa tunggal untuk KDN supaya tiada orang lain yang boleh ganggu perniagaan UKSB.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 13 Jun depan. - Bernama