Karnival kerjaya dapat sambutan, sebahagian peserta terus ditawar kerja

11 Jun 2022 • 3:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 11 JUN: Karnival Kerjaya Mega 2022 anjuran Kerajaan Negeri yang berlangsung hari ini di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini mendapat sambutan menggalakkan.

EXCO pembangunan generasi muda berkata setakat 11 pagi tadi, lebih 2,000 individu datang mendaftar dan ada antaranya sudah mendapat pekerjaaan.

“Karnival ini membabitkan lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri yang menawarkan lebih 20,000 peluang kerjaya.

“Kerja ditawarkan pada semua peringkat dari pekerjaan am hingga eksekutif termasuk kepada golongan kurang upaya (OKU),” kata Mohd Khairuddin Othman selepas meninjau karnival berkenaan.

image is not available
EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media sempena program Selangor Mega Job Fair 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata program sehingga esok bermula 9 pagi hingga 5.30 petang merupakan karnival kerjaya pertama diadakan acara fizikal selepas penularan pandemik Covid-19.

Antara syarikat turut serta adalah Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.