Batal idea GST elak gelombang hiper inflasi, kenaikan harga barang: Amanah

Business & Finance
4 Jun 2022 • 6:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Cubaan kerajaan untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) atas alasan mengukuhkan kewangan negara merupakan tindakan regresif dan akan menyumbang ke arah inflasi lebih tinggi.

Pengerusi Biro Pengguna Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, pelaksanaan GST serentak dengan pemotongan subsidi akan mewujudkan kesan lebih teruk terhadap kuasa beli rakyat.

Faiz mendakwa, penarikan balik subsidi kepada penternak ayam berjumlah RM720 juta yang diumumkan sebelum ini bukti kerajaan gagal berusaha menstabilkan harga ayam.

"Inflasi Malaysia pernah melonjak ke paras 4.2 peratus pada Februari 2016, kurang setahun pelaksanaan GST, kemudian, inflasi melonjak lagi ke paras 5.1 peratus pada Mac 2017.

"Jika dibandingkan dengan tempoh pimpinan Pakatan Harapan (PH), tidak pernah sekali pun inflasi melepasi kadar dua peratus malah pada Disember 2018, kadar inflasi pernah turun sehingga 0.2 peratus.

"Salah satu faktor utama PH berjaya mengawal tekanan harga adalah dengan menggantikan cukai GST dengan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam satu wawancara di Tokyo, Jepun baru-baru ini, Perdana Menteri dilaporkan berkata, GST mungkin kembali dan pada masa sama, program rasionalisasi subsidi akan dilaksanakan.

Menurut Faiz, jika kerajaan kini memperkenalkan kembali GST terutamanya dalam tempoh setahun akan datang, inflasi akan menjadi lebih teruk kerana faktor gangguan rantaian bekalan dunia terus wujud.

"Ia akan menjadi satu tamparan berganda kepada rakyat Malaysia, tidak perlulah BN terdesak untuk justifikasi GST untuk menambah pendapatan negara sedangkan hasil GST daripada poket rakyat.

"Cukup-cukuplah mendera rakyat yang semakin sengsara hari ini," katanya.

Beliau menegaskan, GST bukanlah satu-satunya cara menaikkan hasil pendapatan negara dan sepanjang pemerintahan PH, beberapa sumber hasil alternatif telah dikenal pasti dan dijana secara optimum.

"Jawatankuasa Reformasi Cukai telah diperkenalkan untuk mengurangkan ketirisan sistem percukaian dan menambah baik kutipan cukai.

"Jika GST diperkenalkan kembali serta rasionalisasi subsidi pada masa sama, rakyat Malaysia akan mengalami gelombang hiper inflasi yang besar," katanya.

Katanya lagi, inflasi makanan mencecah 4.1 peratus setakat April 2022 dan ia boleh menjadi lebih teruk dengan kenaikan harga barang yang mendadak.