Wah! Benarkah Orang Islam Yang Mencipta Semua Ini?

Architecture
10 Jun 2022 • 11:30 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: Wah! Benarkah Orang Islam Yang Mencipta Semua Ini?

Pernahkah anda terbaca sama ada dalam buku sekolah, majalah ataupun menonton televisyen tentang ciptaan orang Islam yang terdahulu? Kalau di zaman sekolah, kita lebih didedahkan kepada ciptaan-ciptaan yang lebih popular daripada orang Eropah seperti Alexander Graham Bell, Thomas Edison, Nikola Tesla, Albert Einstein, Alexander Fleming dan ramai lagi. Tetapi, mengapa kita jarang membaca atau mempelajari tentang pereka cipta Islam?

Sumber: Pinterest

Walaupun kadang kala sukar untuk kita temui maklumat yang terperinci tentang semua perkara-perkara atau benda-benda yang dicipta orang Islam terdahulu, kita bernasib baik kerana terdapat beberapa maklumat yang masih disimpan rapi di arkib-arkib seluruh dunia. Ciptaan-ciptaan ini bukan sahaja daripada zaman Mogul atau Uthmaniyah, malah ciptaan-ciptaan orang Islam wujud semenjak Zaman Kegemilangan Islam di abad ke-8 lagi.

Zaman Kegemilangan Islam adalah zaman dimana budaya, ekonomi dan ilmu sains berkembang dengan pesat di serata dunia. Semenjak abad ke-8 sehingga abad ke-14 dalam Zaman Kegemilangan Islam, ilmu Sains adalah ilmu yang boleh dipelajari dan dipelopori oleh sesiapa saja. Maka, tak terkejut jika ada sejarah yang menyatakan ilmuan Islam yang banyak memperkenalkan ciptaan-ciptaan baru samada dalam bidang Sains dan Teknologi, Matematik, Kebudayaan dan lain-lain.

  1. Pembedahan

Sumber: Mvslim

Sekitar tahun 1,000, terdapat seorang pakar bedah terkenal bernama Abu Al Qasim Al Zahrawi (Albucasis) yang juga dikenali sebagai “Bapa Pembedahan“. Beliau telah mencipta dan memperkenalkan pelbagai alatan yang boleh digunakan dalam prosedur pembedahan. Beliau berjaya mencetak lebih 1,500 mukasurat penerangan dan ilustrasi prosedur pembedahan yang kemudiannya digunakan di pelbagai negara termasuk Eropah selama lebih 500 tahun. Beliau adalah orang pertama yang memperkenalkan forseps bagi mengeluarkan fetus yang sudah meninggal dalam kandungan. Beliau berjaya memperkenalkan lebih 200 alat-alat pembedahan seperti skalpel, kuret, retraktor, cangkuk, rod, spekula dan macam-macam lagi seperti yang ditulis di dałam bukunya “Al-Tasrif”.

  1. Mesin terbang

Sumber: Wikipedia

“Mesin terbang” pertama dicipta oleh Abbas Ibn Firnas. Beliau seorang pereka, ahli astronomi, pakar perubatan, ahli kimia, jurutera, ahli muzik Andalusia dan penyair Bahasa Arab. Beliau orang pertama yang tertarik dengan idea untuk terbang dan cuba mereka cipta suatu pakaian atau alat untuk membolehkannya terbang. Menurut beberapa saksi, eksperimen beliau membolehkannya terbang buat suatu jangkamasa dan pada suatu ketinggian (seperti seekor burung) namun ia juga menyebabkan sebahagian tulang belakangnya cedera kerana hentakan yang tidak dapat dikawal sewaktu beliau mendarat. Idea “mesin terbang” ini merupakan inspirasi buat pereka Itali bernama Leonardo da Vinci beberapa ratus tahun kemudian.

Selain daripada mesin terbang, Abbas Ibn Firnas juga berjaya memproses kaca tidak berwarna, mencipta palinesfera, cermin mata dan macam-macam lagi.

  1. Universiti

Tahukah anda Universiti pertama di dunia diasaskan oleh seorang wanita Muslim? Fatima al-Fihri merupakan seorang wanita Arab berketurunan Quraisy. Beliau membuka Masjid al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi pada 859 S.M. Masjid ini mulai berkembang dan kemudian menjadi pusat pendidikan dan institusi pengajian. Kini, ia dikenali sebagai Universiti al-Qarawiyyin.

Masjid & University al-Qarawiyyin
Sumber: ArabAmerica

  1. Algebra (Matematik)

Sumber: Researchgate

Muhammad ibn Musa al-Khwarizmi ialah seorang ahli matematik Iran. Hasil kerja beliau termasuk bidang matematik, astronomi dan geografi. Salah satu hasil kerja beliau yang digunapakai sehingga kini adalah Algebra dimana beliau berjaya memperkenalkan penyelesaian sistematik bagi masalah persamaan linear dan persamaan kuadratik. Beliau juga berjaya menyelesaikan masalah Algebra tersebut dengan memberi pengajaran geometrik yang senang difahami orang ramai. Disebabkan perkara ini, beliau juga diangkat sebagai “Bapa Algebra”.

Selain daripada Algebra, beliau ada juga membuat sumbangan dalam topik Trigonometri dengan memberikan bacaan sinus dan kosinus yang betul serta memperkenalkan sifir tangen.

Beliau juga banyak menyumbang dalam bab geografi seperti memperkenalkan bacaan longitud dan latitud yang betul, jadual astronomi, jam matahari, astrolab dan macam-macam lagi.

  1. Optik

Hasan ibn al-Haytham dilahirkan di Iraq pada tahun 965 S.M. dan merupakan seorang ahli matematik, astronomi dan fizik. Disebabkan sumbangan penting beliau dalam mengenalpasti prinsip optik dan pengamatan tampak (persepsi penglihatan), beliau digelar sebagai “Bapa Optik Moden” dan dikenali ramai sewaktu Zaman Kegemilangan Islam.

Salah satu penulisan beliau di dalam Kitab al-Manazir (Book of Optics)
Sumber: SemanticScholar

Beliau percaya bahawa suatu kaedah saintifik mesti dibuktikan dengan dua cara iaitu dengan membuat hipotesis dan kemudian disokong dengan eksperimen yang boleh membuktikan bahawa hipotesis tersebut tercapai. Kaedah “hipotesis dan eksperimen” ini kemudiannya digunakan dengan lebih pesat 500 tahun kemudian oleh saintis-saintis Renaissance sewaktu Zaman Pembaharuan.

Seperti pereka-pereka di atas, Hasan ibn al-Haytham juga merupakan seorang pakar dalam pelbagai bidang. Selain daripada bidang optik, beliau turut menyumbang idea dan penulisan dalam bidang falsafah, teknologi dan perubatan.


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.