Kerana Kerap Mabuk, Lelaki Maut Di Tangan Isteri

11 Jun 2022 • 8:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Berang dengan sikap suaminya yang kerap mabuk, seorang wanita bersama adik iparnya ditahan selepas disyaki terbabit membunuh lelaki tersebut di Seksyen 25 Shah Alam, tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa seorang lelaki berusia 42 tahun mati di lokasi kejadian dengan lima kesan tetakan dan kecederaan lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dua suspek kejadian ialah isteri dan adik mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berang kerana mangsa dikatakan sering mabuk.

"Mangsa mati di tempat kejadian dengan lima tetakan di belakang kepala, satu kesan lebam di badan, koyakan di bibir dan bengkak di pipi disyaki akibat dipukul senjata tumpul.

"Difahamkan, wanita itu turut memukul suaminya yang mabuk hingga mangsa rebah,” katanya hari ini.

Mohd Iqbal berkata, kedua-dua suspek wanita dan lelaki, masing-masing berusia 40 serta 29 tahun itu ditahan jam 3 petang semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sulit, sebaliknya bersubahat kerana marah dengan sikap mangsa.

Katanya, pasangan suami isteri terbabit sudah mendirikan rumah tangga selama 18 tahun dan mempunyai tiga anak berusia antara empat hingga 16 tahun.

Suspek lelaki yang juga penuntut sebuah kolej swasta tinggal di rumah abangnya itu sejak enam bulan lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

"Sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan S V Kumar di talian 012-8377756," katanya. - Getaran, 11 Jun 2022