19 Tahun Hidup Bebas, Akhirnya Perogol Dicekup Juga

11 Jun 2022 • 7:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan dari AFP

KUALA LUMPUR - Selepas 19 tahun, diburu, seorang suspek kes rogol yang berlaku pada tahun 2003 akhirnya berjaya ditahan berdasarkan data profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata suspek yang kini berusia 40 tahun ditahan di Bagan Serai, Perak, pada 9 Jun lalu.

image is not available
Abd Jalil Hassan - Gambar fail

Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari bermula semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian Perak, untuk membantu siasatan.

“Berbekalkan maklumat yang diperoleh daripada data profil DNA, JSJ Bukit Aman berjaya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan kes rogol yang berlaku pada tahun 2003 di Bagan Serai, Perak.

“Tangkapan dilakukan pada Khamis lalu, lebih kurang jam 9.30 malam di Bagan Serai, Perak,” katanya hari ini.

Abd jalil berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan akan segera dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan pertuduhan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan dalam mengesan dan menahan penjenayah meskipun menghadapi kekurangan maklumat pada awal siasatan.

“Ia termasuklah menggunakan kaedah saintifik melalui data profil DNA bagi mengenal pasti identiti suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.

“PDRM juga menyeru supaya masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian menyalahi undang-undang dalam segala usaha membanteras kegiatan jenayah intuk memberi keadilan kepada mangsa,” katanya. - Getaran, 11 Jun 2022