
TAPAH: Penguatkuasan permit memasuki hutan simpanan kekal (HSK) bagi menjalankan aktiviti rekreasi harian melalui pas bermusim di kawasan Bukit Kledang, Hutan Simpan Kledang Saiong yang berkuat kuasa Julai akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata penguatkuasaan pelaksanaan permit tersebut ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.
“Saya telah memaklumkan kepada Pengarah Perhutanan Perak Datuk Mohamed Zin Yusop untuk ambil maklum dan menyediakan kertas makluman sekali gus mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya juga hendak tahu apa asasnya, apa rasionalnya dan siapa yang terkesan seterusnya membincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Moh Mengopi di sini hari ini.
Jabatan Perhutanan Negeri Perak menerusi satu hebahan sebelum ini memaklumkan akan menguatkuasakan permit memasuki HSK bagi tujuan menjalankan aktiviti rekreasi harian melalui pas bermusim di lokasi tersebut berkuat kuasa bulan depan selaras dengan dengan seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
Menurut hebahan itu, bayaran yang dikenakan bermula pada harga RM10 hingga RM200 bagi warganegara manakala bagi warga asing bermula RM400 hingga RM800 dengan yuran proses permit sebanyak RM20.-Bernama
