MP Pembangkang Persoal Kontrak RM30.75 Juta Ganti 200 Tiang Lampu

Politics
11 Jun 2022 • 2:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lim Lip Eng - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR -  Kerajaan digesa menjelaskan butiran kontrak bernilai RM30.75 juta bagi penggantian 200 unit tiang lampu di Lembah Klang untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang membangkitkan isu berkenaan turut mempersoalkan, sama ada wajar atau tidak nilai kontrak setinggi itu diberi bagi kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian 200 unit tiang lampu.

"Orang ramai tertanya-tanya, adakah kontrak bernilai RM30.75 juta itu semata-mata hanya untuk membina 200 tiang lampu? 

"Adakah ini bermaksud pembinaan satu tiang lampu perlu menelan kos bernilai sebanyak RM153,750," katanya hari ini.

Lip Eng menambah, beliau juga akan mendapatkan penjelasan daripada DBKL sama ada kontrak tersebut diberikan melalui tender terbuka atau sebaliknya. 

"Kerajaan tiada alasan untuk mengetepikan soal ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kontrak berbelanja begitu tinggi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, projek penggantian tiang lampu pintar DBKL dijangka bermula bulan ini dan berakhir Mei tahun depan. - Getaran, 11 Jun 2022