
PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyeru kerajaan untuk mewajibkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan utama menjalankan pemeriksaan kesihatan mental dan kempen kesedaran secara berkala untuk menangani kes gangguan kesihatan mental dan kes bunuh diri yang semakin meningkat di negara ini.
Naib-presiden PBM Dr Shatish Kumar berkata kesedaran ini bertujuan mendorong lebih banyak syarikat dan agensi kerajaan berbuat demikian untuk menghilangkan stigma gangguan ini dan menjadikan kesihatan mental lebih mudah diakses oleh pekerja.
“Agensi tersebut juga harus mendapatkan bantuan pakar kesihatan mental untuk melatih unit sumber manusia di agensi masing-masing untuk menyaring isu kesihatan mental di kalangan pekerja melalui soal selidik, saringan dan kaunseling.
“Ini akan membantu mengenalpasti individu yang terdedah kepada gangguan kesihatan mental seperti kecelaruan keresahan (anxiety) dan kemurungan (depression) pada peringkat awal supaya intervensi dapat dijalankan, kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.
Sathish berpendapat bahawa kerajaan juga harus mempertimbang untuk memberikan insentif cukai kepada syarikat untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan mental dan kempen di tempat kerja.
“Dalam jangka masa panjang, kerajaan harus mewajibkan semua syarikat tersenarai awam menjalankan pemeriksaan kesihatan mental secara berkala oleh profesional kesihatan mental sambil menggalakkan syarikat tidak tersenarai melakukan perkara yang sama.
“Perkara yang sama juga harus dilaksanakan di agensi kerajaan yang mempunyai bilangan kakitangan yang ramai,“ ujar beliau.
Dari 2016 hingga 2021, terdapat peningkatan sebanyak 61.7 peratus dalam percubaan membunuh diri, di mana majoriti kesnya melibatkan lelaki berumur antara 19 dan 40 tahun.
Menurut laporan, punca utama yang dikenal pasti pada 2021 ialah tekanan emosi, manakala sebab lain termasuk penyakit mental, kekangan kewangan, penyalahgunaan dadah dan penyakit.
Apa yang lebih mengejutkan dan membimbangkan ialah pada tahun 2021, terdapat 21 kes melibatkan remaja berumur 18 tahun ke bawah.
Persatuan Psikiatri Malaysia baru-baru ini mendedahkan bahawa penyakit mental dan kes bunuh diri mempunyai pelbagai faktor penyumbang dan selalu berkait rapat dengan penyakit fizikal atau kecenderungan untuk membunuh diri.
“Di Malaysia, seseorang yang mengaku mengalami kemurungan masih menghadapi stigma, dan ini adalah sesuatu yang kita semua harus basmi.
“Seseorang yang mengalami kemurungan tidak perlu berasa malu kerana ia seperti banyak penyakit lain yang boleh dirawat dan diatasi,“ tambah Sathish.

