DBKL Larang Penggunaan Skuter Elektrik Di Dataran Merdeka

5 Jun 2022 • 7:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Aktiviti skuter elektrik di Dataran Merdeka tidak dibenarkan kerana ia adalah sebahagian jalan awam yang tidak diwartakan untuk aktiviti berkenaan. - Gambar dari Facebook DBKL

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melarang penggunaan skuter elektrik di Dataran Merdeka kerana ia sebahagian daripada jalan awam yang tidak diwartakan untuk aktiviti tersebut.

Memaklumkan larangan itu menerusi kenyataan, DBKL berkata, tindakan terbabit selari dengan arahan kerajaan yang tidak membenarkan aktiviti skuter elektrik di jalan awam kecuali di kawasan diwartakan.

DBKL turut memaklumkan pihaknya semalam menyita dua skuter elektrik yang disewakan kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti tidak dibenarkan itu.

“Tiada kebenaran dikeluarkan DBKL di Dataran Merdeka bagi tujuan aktiviti skuter ini. 

“Anggota penguat kuasa juga sudah membuat laporan polis terhadap pengendali aktiviti skuter ini kerana menghalang tugas penjawat awam dan skuter elektrik yang disita dibawa ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras,” katanya hari ini.

April lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengeluarkan arahan kenderaan mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta. - Getaran, 5 Jun 2022