
KUALA LUMPUR - Seorang wanita ditemui meninggal dunia di bawah jejantas berhampiran sebuah kompleks beli belah di Taman Melawati, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa yang berusia 43 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di tepi tangga bawah jejantas berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian tersebut disedari orang awam yang berada di lokasi berhampiran sebelum ia dilaporkan kepada polis.
Menurutnya, wanita dipercayai warga asing tersebut disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang ditugaskan ke lokasi dari Hospital Ampang.
“Ketika ditemui, terdapat beg pinggang milik mangsa yang mengandungi dokumen dan pasport miliknya serta pelbagai jenis ubat.
“Pemeriksaan pada tubuh badannya mendapati tiada kesan kecederaan berunsur jenayah,” katanya hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Ampang untuk menjalani proses bedah siasat awal pagi tadi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - Getaran, 13 Jun 2022

