
Tuaran: Penuntut Politeknik Kota Kinabalu yang dilaporkan hilang ketika bermandi-manda bersama rakannya di Pantai Syahbandar di sini selasa lalu, ditemui lemas tengah malam, Rabu.
Mangsa, Md Habbibullah Juhadi, 21 ditemui orang awam pada jam 12.16 tengah malam di kawasan pantai kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.55 petang, Selasa.
Katanya, seramai sepuluh anggota bergegas ke lokasi kejadian beserta satu jentera dan satu kenderan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat berhubung penemuan mangsa.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Abdul Qawie berkata, operasi yang turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan penduduk kampung itu ditamatkan jam 1.17 pagi.
Terdahulu kira-kira jam 6.30 petang selasa lalu, mangsa dilaporkan dikhuatiri lemas ketika menjalankan aktiviti riadah mandi-manda bersama empat lagi rakannya.
Rakan-rakan mangsa yang menyedari kejadian awal bergegas mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung namun gagal apabila mangsa dibawa arus dan ombak laut.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
