Air Selangor guna BoboiBoy didik masyarakat jaga alam sekitar, sumber air

9 Jun 2022 • 3:45 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meneruskan kolaborasi bersama animasi popular Boboiboy bagi meningkatkan kesedaran penjagaan sumber air dalam kalangan masyarakat.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata siri khas sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia itu bakal ditayang Sabtu ini di laman sesawang serta YouTube Air Selangor.

“Episod kali ini membawa tema Selamatkan Sungai Kita. Ia menceritakan perjalanan BoBoiBoy dalam menentang raksasa sampah bagi memastikan sungai bebas dari sebarang pencemaran.

“Kerjasama dengan Animonsta Studios ini memasuki kali keempat sejak dilancarkan pada Jun tahun lalu yang bertujuan meningkatkan kesedaran betapa pentingnya penjagaan alam sekitar terutama sumber air terutama kepada generasi muda,” katanya.

Beliau ditemui pada pelancaran siri berkenaan di Golden Screen Cinemas (GSC) Mid Valley Megamall hari ini.

Elina berkata tiga episod BoboiBoy yang ditayangkan sebelum ini iaitu Misi Khas BoboiBoy Air, Sertai Misi Khas BoboiBoy Air Sekarang dan Manfaat Air Hujan mendapat lebih daripada 7.7 juta tontonan.

“Kita harap episod kali ini akan terus mendapat sambutan dan mampu mendidik orang ramai supaya terus menjaga sumber air,” katanya.

Sementara itu pengarah urusan Animonsta Studios berkata setiap episod menyampaikan pesanan jelas dan baik terutama dalam penjagaan sumber dan penjimatan air.

“Kita mahu pupuk kesedaran, tak mahu orang ramai membazir air. Harap usaha ini berkesan kerana memberi manfaat besar pada masa depan,” kata Nizam Razak.