Sultan titah Jais tidak sekat Bon Odori, ‘tidak semestinya agama ada dalam budaya’

8 Jun 2022 • 6:43 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 8 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tidak mengambil pendirian dalam isu membabitkan penganjuran Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai .

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menitahkan Jais supaya tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadirinya acara itu.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpama ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitiam yang mendalam.

“Baginda berpendirian banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama tetapi tidak semestinya agama ada dalam budaya.

“Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan menambah Sultan Selangor tidak bimbang umat Islam yang hadir program itu mengenepi iktikad dan membuat amalan bertentangan Ahli Sunnah Wal Jamaah jika akidah mereka kukuh.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin juga menitahkan kakitangan Jais dan Majlis Bandaraya Shah Alam hadir ke program itu untuk membuat penilaian dengan adil dan saksama.

“Baginda sendiri pernah hadir program itu beberapa tahun lalu dan melihat sebarang yang boleh merosakkan akidah umat Islam melainkan ia satu program sosial pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di Selangor,” katanya.