Stadium Shah Alam pun 'banjir'

Politics
13 Jun 2022 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor diminta memberi penjelasan berhubung gambar permukaan padang Stadium Shah Alam dipenuhi air yang tular sejak Ahad.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman perlu memberitahu keadaan sebenar stadium itu kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, gambar tular itu berkemungkinan memperlihatkan keadaan sebenar stadium itu yang tidak diselenggara pada ketika ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan gambar viral air bertakung di dalam stadium berlaku kerana jika dilihat dari luar menunjukkan keadaan struktur bumbung mengalami kerosakan teruk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Azhari berkata, sistem saliran stadium yang diguna pakai pada masa ini perlu diganti baharu memandangkan ia terlalu lama.

Beliau memberitahu, rakyat ingin mengetahui sama ada kerajaan negeri sudah melaksanakan kerja-kerja pembaikan sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor sebelum ini.

"Kita tidak diberi penjelasan sama ada stadium ini sudah dinaik taraf atau belum dan ini menyebabkan isu ini menjadi tanda tanya," ujarnya.

Menurut beliau, isu Stadium Shah Alam antara yang diperjuangkan UMNO sejak dahulu lagi bagi memastikan ia diselenggara dengan baik.

Bagaimanapun, katanya, sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri ini, stadium itu masih dalam keadaan tidak terurus dan mengalami banyak kerosakan.

"Kita sedih dalam keadaan Selangor dianggap sebagai negeri maju, namun keadaan stadium negeri ini amat memalukan," katanya.

Sebelum ini tular gambar permukaan padang Stadium Shah Alam dipenuhi air yang dikongsi di media sosial Facebook.

Gambar memaparkan keadaan padang ditakungi air dengan keadaan stadium tidak diselenggara baik.