Jelajah bantuan baharu mulai 11 Jun, pusing beberapa daerah

3 Jun 2022 • 10:43 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 3 JUN: Karnival Jelajah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi mempromosi inisiatif kebajikan untuk rakyat dijadual bermula di Hulu Langat pada 11 Jun.

Bakal disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, program itu juga bakal diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak sehingga Julai.

Selain menghebah maklumat inisiatif, program tersebut turut diserikan pelbagai acara antaranya senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.

Pelaksanaan ISP membabitkan peruntukan RM350 juta menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat yang disediakan Kerajaan Negeri.

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) misalnya membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Saring Selangor untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.