Polis Siasat Kejadian Lelaki Mengamuk Di Lebuhraya

13 Jun 2022 • 8:05 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mior Faridalathrash Wahid - Gambar fail

IPOH - Polis sedang menyiasat kejadian seorang lelaki dipercayai mengamuk selepas memberhentikan kenderaan di lorong kanan Kilometer 253 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Kuala Kangsar petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan daripada pemandu kenderaan yang berada di lokasi kejadian pada kira-kira 7.12 petang.

"Laporan polis dibuat oleh lelaki itu di Ipoh namun siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

"Suspek dan semua saksi kejadian akan dikesan untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan galangan di jalan awam.

Terdahulu, tular gambar seorang lelaki berdiri di lorong kanan lebuh raya itu dimuat naik oleh pengguna media sosial yang mendakwa suspek memberhentikan kereta sebelum keluar dan mengamuk sambil memegang rantai emas serta memanjat kereta berdekatan selain menendang kereta pengguna lebuh raya yang lain. - Bernama